Pemain Bremen, Maximilian Eggestein (dua kiri) menjaringkan gol menentang Bayern Munich. FOTO Agensi
Pemain Bremen, Maximilian Eggestein (dua kiri) menjaringkan gol menentang Bayern Munich. FOTO Agensi
AFP

Berlin: Juara Eropah, Bayern Munich kekal di tangga teratas carta liga Bundesliga ketika diikat 1-1 di gelanggang sendiri berdepan Werder Bremen, yang hanya dinafikan kemenangan dengan aksi cemerlang Manuel Neuer.

Penjaga gol Jerman, Neuer mempamerkan aksi cemerlang menafikan dua percubaan tepat penyerang Amerika Syarikat (AS), Josh Sargent ketika Bremen memperoleh mata pertama di Bayern selepas lebih sedekad.

"Kami harus berusaha dengan lebih kuat," kata Neuer kepada Sky.

Pemain berusia 34 tahun itu bangkit selepas melepaskan enam gol ketika Jerman dibelasah Sepanyol pada pertengahan minggu lalu dengan menyelamatkan dua percubaan tepat pada separuh masa pertama.

Jurulatih Bayern, Hansi Flick memuji aksi dipamerkan Bremen yang mendahului perlawanan dalam perlawanan ke-50 di bawah kendaliannya, sambil mengakui pasukannya "perlu bertahan dengan lebih baik".

Bremen mendahului sebelum waktu rehat menerusi jaringan menarik Maximilian Eggestein.

"Kami melepaskan gol yang mudah, itulah corak perancangan Bremen yang membuahkan hasil dan mereka bertahan dengan sangat baik," kata penyerang Bayern, Thomas Mueller.

Kingsley Coman berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 di Allianz Arena selepas berjaya menyambut hantaran Leon Goretzka di depan gawang gol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 12:25 PM