TANDUKAN Coman (empat dari kiri) pastikan kemaraan Bayern ke suku akhir Piala Jerman. - FOTO AFP
TANDUKAN Coman (empat dari kiri) pastikan kemaraan Bayern ke suku akhir Piala Jerman. - FOTO AFP
AFP

KINGSLEY Coman menutup aib rakan sepasukan Mats Hummels dengan gol kemenangan masa tambahan sekali gus menyaksikan Bayern Munich mara ke suku akhir Piala Jerman dengan kemenangan 3-2 ke atas Hertha Berlin di Berlin, awal pagi tadi.

Kesilapan Hummels mencetus gol penyamaan Hertha pada babak kedua namun tandukan Coman memastikan kemaraan Bayern ke pusingan lapan terbaik.

Hertha mendahului menerusi satu serangan balas pantas hanya selepas tiga minit apabila Maximilian Mittelstaedt merembat leret melepasi Sven Ulreich, mengawal pintu gol Bayern susulan ketiadaan Manuel Neuer yang cedera.

Bayern membalas empat minit kemudian menerusi Serge Gnabry yang melakukan tendangan separa voli.

Gnabry kemudiannya meletakkan Bayern di depan sejurus selepas rehat, meluru ke dalam kotak penalti sebelum merembat leret ke arah kiri pintu gol lawan.

Namun kesilapan Hummels membolehkan Hertha kembali pada minit ke-67. Tandukan lemah pertahanan Bayern itu menyaksikan Davie Selke meluru ke dalam kotak penalti sebelum menyepak masuk bagi menyamakan kedudukan buat tuan rumah.

Hummels masih kelihatan tidak menentu dan dia pasti lega apabila Coman menanduk masuk gol kemenangan pada minit kelapan masa tambahan.

“Gol kedua mereka tidak sepatutnya, tapi kami sering kali membuat kesilapan,” kata Gnabry kepada televisyen ARD. “Memang selalu sukar dalam aksi piala dan kami bangga meloloskan diri.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 10:17 AM