AKSI Salah (kiri) ketika bertemu Guinea-Bissau, hari ini. FOTO AFP
AKSI Salah (kiri) ketika bertemu Guinea-Bissau, hari ini. FOTO AFP
AFP

Garoua: Mohamed Salah kembali mencetak gol untuk Mesir selepas jaringan separuh masa keduanya membolehkan pemenang tujuh kali Piala Negara-Negara Afrika itu melakar kemenangan 1-0 ke atas Guinea-Bissau, hari ini.

Gol sumbangan Salah minit ke-69 menghidupkan kembali peluang pasukannya di Cameroon selepas tewas 0-1 kepada Nigeria pada perlawanan pembukaan Kumpulan D.

Bagaimanapun Guinea-Bissau kecewa selepas gol Mama Balde minit ke-82 dibatalkan selepas merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR).

Dengan kemenangan itu, skuad bimbingan Carlos Queiroz kini hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Sudan di Yaounde bagi menjamin tempat ke pusingan 16 terakhir.

"Ia adalah perlawanan yang sukar dan kami agak bernasib baik.

"Kami perlu menang pada perlawanan selepas ini bagi memastikan layak ke pusingan seterusnya dan akan melakukan yang terbaik untuk melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan ini," kata Salah selepas tamat perlawanan.

Salah yang gagal menjaringkan gol sepanjang enam penampilan terakhir bersama Mesir sebelum ini, menyaksikan cubaannya terkena tiang gol selepas 84 saat sepak mula.

Bintang Liverpool itu akhirnya memecah kebuntuan pada pertengahan separuh masa kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 7:55 AM