Mane ledak gol buat skuad Senegal. FOTO Agensi
Mane ledak gol buat skuad Senegal. FOTO Agensi
AFP

Johannesburg: Sadio Mane meledak gol pertama dan mencipta gerakan untuk gol kedua ketika Senegal berada di landasan tepat mara ke pusingan akhir Piala Negara Afrika 2021 selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Guinea-Bissau.

Dalam aksi kelayakan lain, Guniea mengatasi Chad 1-0, Burundi mengejutkan Mauritania dengan memaksa keputusan seri pada lewat permainan dan Kenya hanya mampu seri 1-1 berdepan Comoros yang terpaksa beraksi 10 pemain.

Saingan kelayakan Piala Negara Afrika turut terjejas kerana pandemik Covid-19 sehingga memaksa jadual perlawanan antarabangsa Afrika kerap kali diubah.

Bintang Liverpool, Mane menyempurnakan penalti sebelum waktu rehat di Thies dekat Dakar untuk memberikan pendahulu Kumpulan I, Senegal kelebihan pada separuh masa pertama.

Kemenangan buat skuad Teranga Lions dilengkapkan pada minit ke-74 selepas Mane mengumpan bola kepada Opa Nguette yang meledak gol dua minit selepas dimasukkan dari bangku simpanan.

Senegal, yang mempamerkan pencapaian terbaik dalam Piala Negara Afrika ketika muncul naib juara pada 2002 dan 2019, berada di ranking teratas negara Afrika mengatasi Guinea-Bissau dengan jarak 97 kedudukan dalam carta ranking dunia.

Senegal memungut sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan dan tampak mempunyai laluan mudah melepasinya peringkat kumpulan, Congo Brazzaville dan Guinea-Bissau mempunyai tiga mata sementara eSwatini tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 8:28 AM