Jurulatih Pahang, Dollah Salleh. FOTO File NSTP
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh. FOTO File NSTP
Izzali Ismail


Alor Setar: Status pengendali Pahang, Dollah Salleh untuk musim depan mungkin menjadi tanda tanya apabila skuad Tok Gajah tersingkir dari saingan Piala Malaysia selepas tewas kepada Kedah 2-3 di Stadium Darul Aman semalam. Menurut Dollah, perkara itu sudah menjadi lumrah dalam kerjaya bola sepak sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya oleh pengurusan pasukan Pahang untuk perancangan pada musim depan.

"Itu belakang kira, dan sudah menjadi lumrah kalau dikekal, kekallah.., kalau tidak, itu sajalah.., kerana semua perkara itu adalah lumrah sebagai pemain, jurulatih dan saya tak khuatirkan benda itu," katanya.

Menyentuh mengenai perlawanan yang mengakibatkan Pahang tewas di Darul Aman semalam, Dollah menganggap skuadnya tidak bernasib baik untuk saingan kali ini dan aksi pertahanannya yang longlai di babak pertama perlawanan ketika ketinggalan tiga gol menjadikan antara punca kekalahan skuad Tok Gajah berkenaan.

"Kita ambil mudah dalam keadaan tidak begitu bahaya, kita telah beri Kedah jaringkan gol.

"Jadi kesilapan-kesilapan mudah sebenarnya itu yang membuatkan perancangan kita serba tak menjadi, cuma nasib mungkin tidak menyebelahi kita malam ini (semalam) dan kita cuma dapat membalas dua gol sahaja.

"Pada separuh masa kedua pula saya cakap kalau sikap mereka berterusan dalam padang seperti aksi pada separuh masa pertama, awak (pemain) akan dibolosi banyak lagi gol, jadi awak kena ubah dan itulah perubahan yang telah berlaku," katanya.

Pahang dilihat kembali meningkatkan rentak dan mula bertenaga dalam serangan apabila Dollah melakukan pertukaran mengeluarkan Ivan Carlos dan menggandingkan dengan Faisal Halim bersama Nwakaeme di babak kedua. "Separuh masa pertama apabila saya gandingkan Nwakaeme dengan Ivan Carlos nampak tak menjadi dan selepas saya keluarkan Carlos dan menggandingkan Faisal Halim barulah pergerakan nampak bermula."

Dollah juga turut meluahkan rasa terkilan apabila sepakan penalti yang diambil penyerang Dickson Nwakaeme tidak menjadi dan menjangkakan jika penalti itu masuk berkemungkinan Pahang memiliki peluang dengan masa yang ada untuk merubah perlawanan.

"Inilah bola sepak, saya pun dalam latihan selalu tengok dia ambil (sepak) masuk, benda dah tak jadi dan tak masuk nak buat macam mana... dan dia pun sebenarnya sudah beri yang terbaik juga." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 9:26 PM