KANE meraikan jaringannya ketika membantu Tottenham Hotspur menang 2-0 ke atas Watford di Stadium Wembley, London, awal pagi tadi. - FOTO AFP
KANE meraikan jaringannya ketika membantu Tottenham Hotspur menang 2-0 ke atas Watford di Stadium Wembley, London, awal pagi tadi. - FOTO AFP
Reuters

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur Harry Kane berdepan beberapa minggu yang sukar di dalam dan luar padang, namun keupayaannya untuk menjaringkan gol tidak pernah menghampakan seperti ditunjukkannya sewaktu jaringan separuh masa kedua untuk membenam Watford 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi hari ini.

“Saya rasa bagus. Saya ingin bermain dengan baik dalam beberapa perlawanan terakhir, begitu juga dengan pasukan namun saya rasa seronok, bertenaga dan mungkin boleh menjaringkan banyak gol.

“Mungkin saya boleh berakhir dengan cemerlang seperti musim lalu menuju ke musim panas yang hebat,” kata penyerang England itu menjelang Piala Dunia di Russia, bulan depan.

Kemenangan di Wembley itu meletakkan Spurs lima mata mengatasi Chelsea untuk berada di tangga keempat dalam perebutan ke Liga Juara-Juara.

Biarpun Kane tidak berada pada tahap terbaiknya, penyerang itu berada pada masa dan kedudukan tepat untuk merebut tiga mata buat Spurs.

Kane dilihat tidak berada pada tahap terbaiknya sejak pulih daripada kecederaan buku lali dialami di Bournemouth awal Mac dan terlepas dua perlawanan persahabatan membabitkan England.

Pada awalnya dia diarahkan untuk berehat selama sebulan, namun kembali sebagai pemain simpanan ketika menentang Chelsea pada 1 April lalu.

Aksi hambarnya itu mencetuskan persoalan sama ada dia kembali terlalu cepat dan wajar berehat lebih lama sebelum Piala Dunia, namun Spurs tidak berupaya merehatkan penyerang utama mereka.

Kane turut berdepan kritikan pemain lawan dan peminat kerana mengakui gol terkena lengannya di Stoke City yang sepatutnya diberikan kepada Christian Eriksen.

Namun penyerang itu yang mengumpul 27 gol liga dan 38 gol sepanjang musim ini, tidak kisah berdepan kritikan ketika dia cuba mengejar bintang Liverpool Mohamed Salah (31) untuk anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris.

“Saya cuba memperbaiki diri setiap tahun. Tahun lalu saya mengumpul 29 gol, jadi saya mahu mengatasinya tetapi kita lihat apa akan berlaku.

“Dalam fikiran saya, saya cuba untuk mendapatkan 30 gol,” kata Kane.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 11:13 AM