Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. FOTO BERNAMA
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. FOTO BERNAMA
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berpeluang untuk membalas dendam kekalahan di Terbuka Indonesia minggu lalu di tangan beregu nombor lima dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin apabila menempah tiket pertemuan di separuh akhir Terbuka Australia esok.

Kian Meng-Pei Jing yang kini menghuni ranking ke-19 dunia itu tampak tidak berdepan masalah menumpaskan rakan senegara, Choong Hon Jian-Go Pei Kee 21-15, 23-21 dalam tempoh 40 minit di suku akhir.

Manakala Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin hanya memerlukan 31 minit untuk menunjukkan jalan keluar kepada beregu India, B Sumeeth Reddy-Sikki Reddy 21-12, 21-14.

Bagaimanapun ia bukan tugas yang mudah buat Kian Meng-Pei Jing kerana Zhen Bang-Ya Xin yang kini berada di ranking kelima dunia berada di prestasi terbaik mereka selepas bergelar juara Terbuka Indonesia minggu lalu.

Namun bagi Kian Meng-Pei Jing mereka tidak gentar untuk berdepan lawan itu biarpun di atas kertas nyata memihak kepada Zhen Bag-Ya Xin.

"Saya harap esok boleh buat yang terbaik (hari ini). Jika dilihat memang peluang itu lebih kepada pasangan China mungkin 7:3 tapi kami pun tak akan putus asa.

"Sebabnya kita pun tak tau peluang kita macam mana. Jadi kami akan bagi yang terbaik untuk menang," kata Kian Meng.

Mengulas mengenai prestasi beregu muda negara, Kian Meng berkata, dia melihat ada peningkatan dari segi corak permainan Hoo Jia-Pei Kee namun mereka perlu diberi lebih banyak pendedahan dengan menyertai kejohanan untuk mematangkan mereka terutama ketika berada di kedudukan mata penting.

Sementara itu dalam aksi beregu lelaki negara, harap untuk menyaksikan Arif Junaidi-Yap Roy King mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tewas kepada lawan dari Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh.

Arif-Roy King tewas straight set 14-21, 17-21 dalam pertarungan yang berlangsung 34 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 2:01 PM