MALAYSIA diundi berdepan Indonesia dalam aksi suku akhir Piala Sudirman 2021. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
MALAYSIA diundi berdepan Indonesia dalam aksi suku akhir Piala Sudirman 2021. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad badminton negara diundi berdepan negara jiran, Indonesia dalam saingan suku akhir Piala Sudirman 2021 yang berlangsung 9 malam ini di Vantaa, Finland.

Sebelum undian sebentar tadi, Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan naib juara edisi 2019 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan apabila tumpas 1-4.

Kekalahan itu menyaksikan pasukan badminton campuran negara hanya meraih kedudukan selaku naib juara Kumpulan D dan meneruskan kempen di suku akhir dengan berdepan juara Kumpulan C, Indonesia.

Jepun pula akan menentang Taiwan yang muncul naib juara Kumpulan C dan mampu bertemu semula pasukan negara di separuh akhir seandainya melepasi halangan lawan masing-masing di suku akhir.

Penyandang juara, China yang mengungguli Kumpulan A akan berdepan dengan naib juara Kumpulan C, Denmark, manakala juara Kumpulan B, Korea Selatan akan menentang naib juara Kumpulan A, Thailand.

Pada 2019, Malaysia terkandas di suku akhir selepas tumpas 0-3 kepada Jepun dan kali terakhir pasukan negara mara ke separuh akhir pada 2009 di Guangzhou, China.

Sementara itu, pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia mengakui kemenangan dan berjaya menyumbang mata tunggal negara ketika berdepan Jepun dalam aksi terakhir adalah satu persiapan terbaik sebelum melangkah ke suku akhir malam ini.

"Kami sudah bersedia dan tahu bagaimana untuk mengawal kekuatan mental dengan lebih baik, " katanya yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik ketika menumpaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 22-20, 14-21, 21-16.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang tumpas kepada pemain nombor satu dunia, Kento Momota 18-21, 10-21 mengakui mempelajari sesuatu sebaik tamat aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebentar tadi.

"Ia aksi pemanas badan yang baik buat saya (sebelum bermain di suku akhir)," katanya yang dijangka berdepan perseorangan lelaki Indonesia, Anthony Ginting malam ini.

Selain Ginting, Indonesia dijangka membariskan perseorangan wanita, Gregoria Mariska Tunjung dan gandingan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo

Mereka juga dijangka akan mempertaruhkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dalam acara beregu wanita, Greysia Polii-Apriyani Rahayu, manakala beregu campuran sudah pasti diisi Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 2:58 AM