Kuala Lumpur: Perjuangan pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong di Terbuka Thailand terhenti di suku akhir apabila tewas kepada wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 19-21, 21-23, hari ini.
'Penyakit' tidak konsisten dilihat menjadi punca kepada kekalahan Tze Yong apabila pada satu ketika selesa mendahului lawannya itu di kedua-dua set itu namun akhirnya kecundang di hujung perlawanan.
Pada perlawanan di Stadium Tertutup Huamak itu, Tze Yong bermula baik di set pertama apabila kerap mendahului lawannya itu namun ketika Cheuk Yiu mendahului kali pertama di kedudukan 20-19, dia terus memanfaatkan peluang itu untuk memenangi set pertama.
Set kedua juga menyaksikan Tze Yong sering mendahului lawannya yang menduduki ranking ke-17 itu, namun dia sekali lagi gagal mempamerkan aksi konsisten sebelum tewas pada perlawanan yang berlangsung selama 53 minit itu.
Untuk rekod ia adalah kekalahan kali kedua dialami Tze Yong di tangan Cheuk Yiu sepanjang tiga pertemuan antara mereka.
Tze Yong sebelum ini mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan pertama dari Taiwan, Chou Tien-Chen 23-21, 23-21 di pusingan kedua.
Ia adalah kemenangan pertama buat Tze Yong ke atas Tien Chen selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini.
Pemain negara yang menduduki ranking ke-24 dunia itu turut tersingkir seawal pusingan kedua di Masters Malaysia minggu lalu.