REXY Mainaky. FOTO Bernama
REXY Mainaky. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengakui tugas berat menantinya dalam usaha untuk membawa lebih banyak kejayaan gemilang buat skuad badminton negara.

Beliau kini diberi tanggungjawab baru apabila BAM memutuskan penstrukturan semula badan induk itu selepas meneliti keputusan atlet negara sepanjang tiga bulan lalu ketika di Eropah dan Bali, Indonesia.

Rexy bagaimanapun percaya, pendekatan baru BAM itu akan memudahkan proses komunikasi dan kelancaran latihan membabitkan jurulatih dan pemain.

Ia secara tidak langsung akan dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat tanpa melalui banyak pihak seperti sebelum ini.

"Saya rasa pendekatan baru ini akan lebih berhasil. Ia juga dapat mengurangkan tugas Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan BAM) sebelum ini.

"Tahun depan tahun yang sibuk dengan sasaran utama yang diletakkan BAM adalah Piala Thomas. Jadi semua pihak perlu bekerjasama.

"Saya dan Choong Hann akan bekerjasama dan kita boleh menjadi pasukan yang lebih baik dan kuat," katanya.

Bekas juara Olimpik dan juara Dunia itu sebelum ini kembali ke BAM sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan pada 1 Disember sebelum diberikan peranan baharu dalam penstrukturan baharu ini yang akan dapat meminimumkan masalah di pihak kejurulatihan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Datuk Kenny Goh mengumumkan penstrukturan semula kejurulatihan BAM dengan Choong Hann memikul tugas selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan manakala Rexy bertanggungjawab ke atas jabatan beregu.

Sementara itu bagi Choong Hann turut melihat perubahan yang positif demi masa depan skuad negara dan mengakui terdapat kelewatan dalam proses membuat keputusan dalam struktur sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 1:06 PM