REXY (kiri) ketika membimbing skuad negara pada 2011. FOTO NSTP
REXY (kiri) ketika membimbing skuad negara pada 2011. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ada misi yang belum dilunaskan mendorong legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky kembali ke Malaysia sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan.

Rexy turut mengakui dia amat tertarik dengan perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) khasnya membabitkan pemain muda negara yang menjadi sebab utama dia menolak tawaran dari beberapa negara luar seperti England dan Filipina selain memilih untuk tidak menyambung kontrak lanjutan bersama Thailand.

Rexy berkata, dia kagum melihat perkembangan barisan beregu negara baik dalam acara lelaki dan wanita malah apa yang yang dipamerkan oleh beregu campuran juga tampak memberangsangkan.

Justeru inilah alasan kuat yang membawa untuk dirinya kembali ke Malaysia dalam usaha membantu skuad negara untuk membawa pulang emas pertama di temasya Olimpik nanti.

"Saya sudah berjaya bawa gelaran Seluruh England, juara Sukan Asia dan pelbagai lagi namun satu yang belum dicapai iaitu membantu Malaysia membawa pulang emas.

"Terima kasih kepada BAM (Tan Mohamad Sri Norza Zakaria) kerana memberi kepercayaan kepada saya melunaskan tugas dan memberikan apa yang belum saya dapat berikan kepada BAM," katanya.

Bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 1996 itu akan bekerjasama dengan Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann. Rexy akan menambah input teknikal ke dalam bidang prestasi utama.

Dia secara spesifik akan diletakkan dalam acara beregu bersama skuad kebangsaan di mana ditugaskan untuk mengawasi dan meningkatkan prestasi atlet.

Legenda berusia 53 tahun itu akan melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pada 1 Disember 2021.

Ditanya apa yang akan dilakukan sebaik tiba ke Malaysia, Rexy berkata dia akan mengadakan perbincangan bersama barisan jurulatih dan juga pemain untuk mengenal pasti arah tuju mereka.

Katanya itu adalah penting bagi dia merangka perancangan awal yang mana misi utama ketika ini mencari jalan bagaimana pemain negara untuk menyerlah di Piala Thomas dan Uber pada Mei tahun depan.

"Kita akan bincang satu tahap ke satu tahap terlebih dahulu. Saya tak mahu campur adukkannya kerana nanti boleh kadi kacau bilau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 5:06 PM