KENNY  pada sidang media  di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO Bernama
KENNY pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan perubahan drastik terhadap penstrukturan semula barisan kejurulatihan bagi memastikan lebih banyak kejayaan dapat dicapai pada 2022 yang mana Piala Thomas akan menjadi fokus utama.

Meletakkan sasaran mara ke final Piala Thomas, Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh yang ditemui selepas Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan berkata, satu analisa secara terperinci mengenai prestasi pemain sejak tiga bulan lalu iaitu di Eropah dan Bali, Indonesia menjurus kepada perubahan berkenaan.

Penstrukturan semula itu menyaksikan Wong Choong Hann yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Kejurulatihan BAM akan menggalas tugas sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan.

Manakala Rexy Mainaky yang sebelum ini dilantik Penolong Pengarah Kejurulatihan dinaikkan pangkat dan akan menjawat jawatan pengarah kejurulatihan beregu.

"Kami membuat penilaian kendiri mengenai kekuatan dan kelemahan. Jika dulu kita mempunyai banyak peringkat daripada ketua jurulatih dan perlu lapor kepada pengarah kejurulatihan, struktur baru itu kini dikecilkan kepada dua bahagian. Perseorangan dikendalikan Choong Hann dan beregu oleh Rexy.

"Saya percaya perubahan ini mampu membawa kita mencapai lebih banyak kejayaan pada 2022 yang mana semua tahu ia tahun yang padat.

"Biarpun tak dapat menjamin pencapaian tapi perubahan itu perlu dan saya yakin kita mampu lakukan yang lebih baik tahun depan berbanding 2021," katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia (BAM).

Dalam perkembangan sama, Kenny berkata, pemain akan menempuh jadual padat dengan membabitkan beberapa temasya utama seperti Sukan Asia Hangzhou, China, Sukan Komanwel Birmingham, Sukan Sea Vietnam dan juga Piala Thomas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 7:53 PM