SZE Fei dan Izzuddin akan menentang beregu Taiwan di final Terbuka AS.
SZE Fei dan Izzuddin akan menentang beregu Taiwan di final Terbuka AS.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menang di pentas separuh akhir pagi tadi.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan ketiga tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-17 ke atas pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi di Mid-America Center di Council Bluffs, Iowa.

Ini kali pertama Sze Fei-Izzuddin menentang Bo Yang- Liu Yi yang juga pilihan kelima kejohanan.

Menanti pasangan nombor 53 dunia itu di pentas final awal pagi esok ialah pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen selepas pilihan ketujuh itu mengalahkan gandingan senegara, Lin Yu Chieh-Su Li Wei 21-17, 21-12 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kali terakhir Sze Fei-Izzuddin mara ke perlawanan akhir ialah di Terbuka Switzerland tahun lalu sebelum mereka tumpas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian- Muhammad Rian Ardianto 18-21, 19-21.

Terbuka AS adalah kejohanan pertama buat Sze Fei- Izzuddin selepas mereka kembali 'rujuk' semula pada Mei lalu.

Pada Januari lalu, bekas juara Terbuka Jerman itu membuat keputusan untuk berpisah atas alasan tiada lagi persefahaman antara mereka.

Bagaimanapun, empat bulan selepas itu, mereka kembali digandingkan bagi mengejar impian untuk memburu tiket beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Selepas Terbuka AS, Sze Fei-Izzuddin turut dijadual beraksi dalam saingan Terbuka Korea dari 18 hingga 23 Julai ini dan Terbuka Jepun dari 25 hingga 30 Julai dalam usaha mereka mengutip mata untuk kelayakan ke Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 12:28 PM