AARON-Wooi Yik mara ke pusingan kedua Masters Malaysia. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
AARON-Wooi Yik mara ke pusingan kedua Masters Malaysia. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pasangan beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mara ke pusingan kedua Masters Malaysia selepas menewaskan pasangan Indonesia, Yeremia Rambitan-Pramudya Kusumawardana sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pasangan negara itu bagaimanapun dipaksa bermandi peluh sebelum menang 21-18, 10-21, 23-21 dalam aksi yang memakan masa 55 minit.

"Saya harus akui perlawanan hari ini bukan 100 peratus sebab jadual kami agak padat baru balik dari Piala Sudirman. Kami perlukan rehat untuk fresh bila turun bertanding.

"Tapi saya tidak mahu jadikan perkara itu sebagai alasan dan harap satu hari rehat ini kami boleh gunakan dengan baik supaya turun Khamis nanti lagi fresh," kata Wooi Yik yang akan bertemu gandingan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho di pusingan kedua.

Mengikut jejak langkah mara ke pusingan kedua ialah Aaron-Wooi Yik ialah pasangan beregu profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii yang menewaskan gandingan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang straight set 21-16, 21-18.

Menanti Yew Sin-Ee Yii di pusingan kedua pada Khamis ialah pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han yang mara selepas menewaskan wakil Belanda, Ruben Jille-Ties Van der Lecq 21-17, 21-15.

Selain Yew Sin-Ee Yii turut mara ialah seorang lagi pasangan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mencipta kejutan apabila menumpaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen 25-23, 21-16.

Kemenangan itu menyaksikan pasangan Malaysia itu menempah tiket ke pusingan kedua dan akan bertemu pemenang antara aksi melibatkan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong atau beregu Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall.

Dalam pada itu bagi kategori beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah menepati ramalan apabila menumpaskan pasangan adik beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-17, 21-14 dan akan bertemu gandingan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 10:40 PM