AKSI  Aaron  dan  Wooi Yik ketika menentang beregu India. FOTO Asyraf Hamzah
AKSI Aaron dan Wooi Yik ketika menentang beregu India. FOTO Asyraf Hamzah
Fabian Peter

Hangzhou: Perjuangan beregu utama negara Aaron Chia dan Soh Woo Yik di Sukan Asia Hangzhou tamat di peringkat separuh akhir sebentar tadi.

Bekas juara dunia itu hanya mampu meraih pingat gangsa selepas tewas 21-17, 21-12 di tangan beregu nombor tiga dunia dari India Satwiksairaj Rankireddy-Shirag Chetty.

Walaupun kecewa dengan kekalahan itu, beregu nombor lima dunia terbabit tetap berpuas hati dan bangga dengan persembahan mereka di Hangzhou.

"Tiada alasan, kami diasak hebat oleh gandingan India malam ini. Ia sangat teknikal tetapi kami sebagai pemain tahu betapa penting terutama ketika menerima servis.

"Mereka mempunyai kelebihan hari ini dengan banyak menekan kami dan kami pula banyak membuat kesilapan," kata Aaron.

Wooi Yik pula percaya mereka sudah melakukan yang terbaik dan sekali lagi membuktikan mampu mara lebih jauh di kejohanan utama.

"Saya tetap percaya kami pamer aksi terbaik di sini. Kami datang sini mencari pengalaman yang bagus di Sukan Asia dan saya fikir kami melakukannya. Kekalahan hari ini tidak mengubahnya.

"Sasaran kami seterusnya ialah Olimpik Paris 2024. Kecewa dengan keputusan di sini tetapi kami akan teruskan perjuangan," tambah Wooi Yik.

Kekalahan Aaron-Wooi Yik bermakna skuad badminton hanya membawa pulang satu pingat manakala ketika di temasya Jakarta-Palembang sebelum ini, mereka pulang dengan tangan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 11:17 PM