ZII Jia mara ke pusingan kedua Masters Indonesia. FOTO ASWADI ALIAS
ZII Jia mara ke pusingan kedua Masters Indonesia. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain badminton negara, Lee Zii Jia terpaksa mengerah keringat beraksi tiga set sebelum dapat menundukkan pemain India, Srikanth Kidambi di Masters Indonesia sebentar tadi.

Zii Jia yang berada di ranking ke-10 dunia bangkit daripada kekalahan di set pertama, memerlukan 54 minit untuk menang 19-21, 21-14, 21-11.

Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia melebarkan rekod pertemuan mengatasi Kidambi kepada 4-1.

Menanti Zii Jia di pusingan kedua adalah wakil dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long Angus yang mara ke pusingan kedua selepas menang ke atas pemain Denmark, Magnus Johannesen, 21-17, 24-22.

Kali terakhir Zii Jia berdepan Angus adalah ketika di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu yang mana memihak kepada pemain negara dalam pertarungan tiga set.

Namun berdasarkan rekod pertemuan Angus dilihat lebih berpeluang untuk mara ke suku akhir apabila dia menang empat dari enam pertemuan mereka sebelum ini.

Sementara itu turut mara ke pusingan kedua adalah Leong Jun Hao yang melakarkan kejutan menewaskan pemain di ranking ke-11 dunia, Kenta Nishimoto dari Jepun.

Beraksi sebagai pemain kelayakan, Jun Hao tenang mengawal gelanggang apabila menang 21-17, 21-17 ke atas Kenta yang menghuni ranking ke-11 dunia.

Kali terakhir mereka bertemu adalah dua tahun lalu dalam aksi Piala Thomas yang mana ia memihak kepada Kenta.

Jun Hao yang juga juara remaja Asia 2017 bagaimanapun berdepan laluan berliku apabila akan membuat perhitungan dengan wakil tuan rumah yang juga pilihan ketiga, Anthony Sinisuka Ginting, esok.

Ginting mara ke pusingan kedua selepas mudah menjinakkan pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen 21-13, 21-15.

Turut mara ke pusingan kedua satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menang ke atas pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 21-15, 21-15.

Mereka mengikuti jejak dua lagi beregu campuran profesional, Chan Peng-Soon-Cheah Yee See dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang terlebih dahulu mengesahkan tiket ke pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 8:49 PM