HAIKAL (kiri) akui Hon Jian memiliki kelebihan dari segi pukulan smash kencang. FOTO ASWADI ALIAS
HAIKAL (kiri) akui Hon Jian memiliki kelebihan dari segi pukulan smash kencang. FOTO ASWADI ALIAS
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri berharap Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dapat mempertimbangkan hasratnya untuk digandingkan bersama Choong Hon Jian.

Menurut Haikal, hal ini kerana dia berpendapat Hon Jian memiliki kemahiran mengawal gelanggang dengan lebih baik dan ia akan membantu mereka untuk mempamerkan permainan yang lebih bagus.

"Pemilihan Hon Jian sebenarnya saya juga sudah berbincang dengannya. Saya memilih dia kerana ada pengalaman bermain dalam acara beregu campuran.

"Dia memiliki kelebihan dari segi pukulan smash kencang dan lebih bertenaga untuk mengawal gelanggang di bahagian belakang, lalu saya hanya lebih fokus kepada depan jaring.

"Saya fikirkan gandingan kami akan menjadi selepas mengimbas kembali aksi di Sukan Sea Vietnam tahun lalu. Ketika itu saya berganding dengan Chen Tang Jie dalam acara berpasukan dan permainan lebih baik dibandingkan dengan gandingan asal Arif Junaidi.

"Kalau saya bersama pemain seperti Arif… kami perlu lebih banyak membuat rotation malah pengalaman selama ini membuktikan kami tidak mampu pergi jauh kerana tiada power," katanya.

Dalam pada itu Haikal berkata, turut menafikan bahwa dirinya kecewa apabila gandingannya sebelum ini Nur Izzuddin Rumsani kembali 'rujuk' bersama pasangannya Goh Sze Fei.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu sedikit mengganggu persembahannya sambil berharap perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi selepas ini.

"Saya terima keputusan Izzuddin dan saya menyokongnya, tetapi selepas itu, ketika jurulatih berada di luar negara mengiringi pemain ke kejohanan, persoalan mengenai nasib diri saya dalam skuad kebangsaan mula membuai.

"Jadi selepas habis memikirkannya, saya sudah bertemu jurulatih dan menyuarakan pandangan, dengan siapa mahu bergandingan," ujarnya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 1:38 PM