EE Wei dan Tang Jie meraih gelaran pertama mereka di Orleans Masters. FOTO BAM
EE Wei dan Tang Jie meraih gelaran pertama mereka di Orleans Masters. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ada rahsia di sebalik tangisan Toh Ee Wei selepas muncul juara Orleans Masters di Perancis, semalam bersama pasangannya, Chen Tang Jie sekali gus melakar sejarah peribadi memenangi kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) buat kali pertama.

Bagi Ee Wei, kemenangan 21-19, 21-17 ke atas pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin pada aksi final itu cukup bermakna selepas dia mengharungi detik sukar tahun lalu apabila disahkan mengalami kecederaan 'Bone Tuberculosis' iaitu membabitkan tulang belakang.

"Ia bukan mudah. Perjalanan sangat sukar untuk saya. Masih ingat bagaimana saya dan keluarga berdepan kesukaran di hospital selepas didiagnosis Bone TB (bone tuberculosis) setahun yang lalu.

"Saya alami kesukaran ketika sesi latihan pada setiap hari dan melakukan sesi pemulihan untuk menguatkan badan. Pada masa sama melihat rakan sepasukan berlatih tetapi saya tak dapat menyertai mereka. Segalanya berbaloi sekarang," katanya.

Dedah Ee Wei lagi, lima tahun lalu dia hampir berputus asa dengan perjalanan kariernya selaku pemain badminton namun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tetap percaya kepada kemampuannya.

"Terima kasih kerana mempercayai saya termasuk jurulatih Nova (Widianto) dan Rexy (Mainaky). Tak lupa kepada semua pasukan sokongan. Terima kasih juga kepada gandingan saya, Tang Jie yang tahu apa yang sudah kami lalui bersama," katanya.

Diletakkan selaku pilihan ketujuh kejohanan, Tang Jie-Ee Wei yang menduduki ranking ke-26 dunia nyata dapat beraksi dengan baik serta mempunyai keserasian apabila memerlukan masa 35 minit untuk menewaskan lawan mereka itu.

Ia pertemuan kali pertama Tang Jie-Ee Wei dengan gandingan Taiwan itu yang menduduki ranking ke-25 dunia.

"Kami sangat gembira dengan kemenangan ini. Pada perlawanan itu, kami lebih fokus kepada kekuatan mental dan bagaimana untuk kekal tenang ketika di gelanggang. Kami terus berkomunikasi dan mempercayai antara satu sama lain. Kami beraksi seperti ketika sesi latihan dan tidak fikir sama ada menang atau kalah," kata Ee Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 12:00 PM