TZE Yong tarik diri di set kedua ketika menentang Tien Chen. FOTO BAM
TZE Yong tarik diri di set kedua ketika menentang Tien Chen. FOTO BAM
Zulkarnain

Kuala Lumpur: Peminat badminton tanah air boleh menarik nafas lega apabila kecederaan yang dialami pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tidak serius.

Perkembangan itu dimaklumkan sendiri Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu ciapan di Twitter rasmi mereka sambil memaklumkan pemain berusia 22 tahun itu perlu berehat selama seminggu.

"Tze Yong akan diketepikan selama seminggu kerana kecederaan paha yang tegang. GWS (semoga cepat sembuh," katanya.

Sementara itu Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Wong Choong Hann mendedahkan, disebabkan kecederaan itu anak buahnya sukar beraksi dengan baik terutama ketika membalas pukulan lawan.

"Tze Yong mengalami kecederaan hamstring dan terpaksa bersara daripada perlawanan itu. Dia mengalami ketegangan hamstring paha dalam.

"Ia membengkak dan menjadi menyakitkan baginya semasa lunges, menjadikannya sukar untuk mendapatkan pukulan drop shot," kata Choong Hann.

Terdahulu pemain yang berada di ranking ke-26 dunia itu terpaksa menarik diri di suku akhir Terbuka Switzerland ketika menentang wakil Taiwan, Chou Tien Chen.

Pada aksi berkenaan, Tze Yong menarik diri pada set kedua selepas ketinggalan 2-0 dan tewas pada set pertama 21-11.

Perkembangan itu sekaligus menyaksikan Tze Yong terpaksa melupakan kejohanan Masters Sepanyol yang dijadual bermula minggu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 4:04 PM