NG Tze Yong. FOTO AP
NG Tze Yong. FOTO AP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong berdepan tugas sukar bermula pusingan pertama apabila turun beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) dekat Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 25 hingga 30 April ini.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan, pemain ranking ke-25 dunia itu akan membuka tirai saingan menentang pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dan dijadual bertemu antara pemain nombor tiga dunia dari Indonesia yang juga pilihan pertama, Jonatan Christie atau bintang China, Shi Yuqi sekiranya mara ke pusingan kedua.

Jika berjaya lolos ke pusingan suku akhir, Tze Yong sekali lagi akan berdepan cabaran getir yang menyaksikan juara dunia, Loh Kean Yew atau pemain utama India, Lakshya Sen akan menantinya untuk aksi suku akhir.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann, dia percaya anak buahnya itu mampu beraksi pada tahap prestasi terbaiknya untuk cuba menghasilkan keputusan positif di Dubai.

"Secara fizikalnya, dia sudah bersedia. Cuma, sekarang kita sedang mempersiapkan dirinya untuk mencari rentak permainan dan pukulan-pukulan yang digemarinya.

"Ini penting bagi meningkatkan lagi tahap keyakinannya dalam melakukan pukulan. Apa pun, kami percaya dia boleh beraksi pada tahap terbaiknya," kata Choong Hann.

Tze Yong yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmigham 2022 mencuri perhatian seluruh dunia bulan lalu apabila dia berjaya menumbangkan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan kedua Seluruh England.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 5:31 PM