PEMAIN badminton negara, Ng Tze Yong menerima rawatan ketika final perseorangan lelaki menentang pemain India, Lakshya Sen, semalam. FOTO AFP
PEMAIN badminton negara, Ng Tze Yong menerima rawatan ketika final perseorangan lelaki menentang pemain India, Lakshya Sen, semalam. FOTO AFP
BERNAMA

Birmingham: Tze Yong adalah Tze Yong dan beliau boleh berjaya dengan caranya sendiri.

Susulan kejayaan cemerlang pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong merangkul pingat perak dalam kemunculan sulungnya di Sukan Komanwel Birmingham 2022, sesetengah pihak mungkin berpendapat atlet itu sudah bersedia untuk 'mencabar' pemain profesional yang juga jaguh perseorangan, Lee Zii Jia.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menekankan pihaknya tidak melatih pemain nombor 42 dunia itu untuk mengatasi Zii Jia.

Sebaliknya, Choong Hann berkata, anak buahnya itu mempunyai bakat dan kebolehan untuk menyumbang kejayaan kepada negara dengan caranya tersendiri.

Meskipun tewas 21-19, 9-21, 16-21 kepada pemain India, Lakshya Sen dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki, Tze Yong layak diberi pujian ekoran prestasi hebatnya sepanjang temasya itu, termasuklah mencipta dua kejutan ke atas dua pemain ternama dunia untuk mara ke final.

Tze Yong mengejutkan juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura, 15-21, 21-14, 21-11, dalam pusingan suku akhir, Sabtu lalu dan perseorangan ke-13 dunia Srikanth Kidambi dari India, 13-21, 21-19, 21-10, dalam separuh akhir pada Ahad.

Pemain berusia 22 tahun itu memainkan peranan penting dalam membantu kem badminton negara merampas emas berpasukan campuran daripada India dengan kemenangan 3-2, Selasa lalu.

Tze Yong mengalahkan Kidambi 21-19, 8-21, 21-16 dalam perlawanan ketiga pusingan akhir berpasukan campuran, sekali gus membuka laluan untuk Malaysia meraih emas.

Bagaimanapun, Choong Hann berkata, masih banyak yang perlu dilakukan pihaknya untuk membantu Tze Yong memperoleh lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Kami akan terus melatihnya menerusi program sedia ada dan biarkan faktor masa menjadi penentu. Kami tidak akan mengubah sasaran kami atas sebab tekanan yang tidak perlu," katanya kepada Bernama.

Mengenai prestasi Tze Yong sepanjang temasya itu, Choong Hann gembira melihat kemajuan atlet dari Johor itu yang menunjukkan permainan baik dan mengatasi pemain dengan ranking lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 8:17 PM