WONG Choong Hann. FOTO Owee Ah Chun
WONG Choong Hann. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Seramai 18 pemain remaja yang dinaikkan pangkat ke pasukan senior diingatkan supaya terus bekerja keras kerana laluan yang mereka akan lalui tidak mudah.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, semua pemain perlu kekal bersemangat biarpun perlu beralih angin daripada skuad pembangunan yang diketuai oleh Datuk Misbun Sidek.

"Saya pasti barisan kejurulatihan skuad senior sedia untuk memberikan segala-galanya bagi mengembalikan martabat sukan badminton negara.

"Jadi pemain yang dinaikkan pangkat ini perlu ingat akan tugas dan memikul tanggungjawab masing-masing dengan baik.

"Kami mahu memperkuatkan skuad senior dan yang penting jangan lupa tujuan asal kerana kami barisan kejurulatihan akan pastikan yang terbaik untuk membantu anda," katanya.

Terdahulu, BAM mengumumkan seramai 18 pemain junior dinaikkan pangkat ke pasukan senior dengan pemain itu dicadangkan sendiri oleh Misbun selaku Pengarah Pembangunan Remaja BAM.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky berharap semua pemain baharu itu sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menempuh cabaran terutama beraksi di kejohanan lebih besar.

Justeru Rexy yang sebelum ini pernah melahirkan beregu emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berharap pemain remaja itu akan terus mempamerkan semangat juang tinggi dan membuktikan bahawa pemilihan mereka itu adalah tepat dan berusaha untuk mencapai potensi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 9:26 PM