ZII Jia bekerja keras atasi pemain China. FOTO BAM
ZII Jia bekerja keras atasi pemain China. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan kejurulatihan pasukan badminton Malaysia tidak mahu 'melompat' apabila anak buah mereka terkandas 2-3 di peringkat suku akhir kepada China pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC 2023) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi semalam.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, kejohanan itu sebenarnya sebagai persediaan kepada pemain sebelum mereka mengharungi Piala Sudirman di Suzhou, China pada Mei depan.

"Secara keseluruhan prestasi pemain hari ini (kelmarin) ada kualiti. Dari segi semangat berpasukan dalam dan luar gelanggang juga positif, cuma ada beberapa perkara kecil kita perlu tingkatkan.

"BAMTC ini saya lihat sebagai satu persediaan sebelum kejohanan sebenar Piala Sudirman. Peluang di sana boleh lebih baik jika kita serius membina pasukan dengan latihan bersama sekurang-kurangnya sebulan," katanya.

Pada aksi di Pusat Pameran Dubai itu, perseorangan lelaki, Lee Zii Jia terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menghadiahkan mata pertama dengan menewaskan pemain berada di ranking 120 dunia Lei Lan Xi 21-16, 22-20.

China kemudiannya mendahului 2-1 menerusi kemenangan perseorangan wanita yang berada di ranking 101 dunia Gao Fang Jie 15-21, 21-13, 21-19 ke atas Goh Jin Wei (ranking 29 dunia) manakala beregu lelaki, He Ji Ting-Zhou Hao Dong menewaskan Ong Yew Sin-Teo Ee Yii 24-22, 21-18.

Malaysia bangkit menyamakan kedudukan 2-2 selepas Pearly Tan-M. Thinaah berjaya menumbangkan beregu wanita China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-17, 12-21, 21-19.

Walaupun beregu campuran negara Tan Kiang Men-Lai Pei Jing berada pada kedudukan keenam dunia namun mereka terpaksa akur kepada pasangan Feng Yan Zhe-Huang Dol Ping yang berada di ranking ke-20 dunia dengan keputusan 15-21, 23-25 sekali gus menamatkan perjuangan Malaysia pada kejohanan itu.

Mengikut rekod, China menghantar skuad kedua mereka pada edisi kali ini sebagai pendedahan kepada pemain mereka untuk menyertai kejohanan lebih besar akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 4:00 PM