NG Tze Yong. FOTO NSTP
NG Tze Yong. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Walaupun kurang sihat hampir sebulan, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dijangka tetap beraksi pada kejohanan All England 2023 di Birmingham pada 14 hingga 19 Mac ini.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu mengalami batuk berpanjangan hampir sebulan sehingga menyebabkan beliau terlepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini, buat seketika.

"Saya telah beri beliau rehat selama beberapa hari," katanya ringkas kepada pemberita sebelum beredar meninggalkan gelanggang latihan hari ini.

Kali terakhir pemain nombor 28 dunia tersebut beraksi adalah di Masters Thailand 2023 di Bangkok, Thailand yang berlangsung pada 31 Januari hingga 5 Februari lalu yang menyaksikannya tersingkir di peringkat suku akhir di tangan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong, 14-21, 20-22.

Sementara itu, pemain beregu campuran negara yang kini meningkat naik, Toh Ee Wei tekad untuk merebut Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China, pada 14 hingga 21 Mei ini bersama pasangannya Chen Tang Jie.

Biarpun dijangka berdepan saingan sengit dengan beregu lain termasuk dua gandingan profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk ke China, Ee Wei berkata beliau sememangnya tidak akan mensia-siakan peluang tersebut sekiranya mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan.

Mengenai aksi sulung di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, minggu lepas, pemain berusia 22 tahun itu tetap menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang mengujakan biarpun pasukan negara terkandas di peringkat suku akhir kepada China, 3-2.

"Kami mencuba yang terbaik lawan China cuma tiada nasib," kata Ee Wei.

Di Dubai, Tang Jie-Ee Wei bermain dalam dua perlawanan Kumpulan B yang menyaksikan mereka diturunkan buat kali pertama ketika membantu skuad negara membenam Kazakhstan 5-0 dengan menewaskan Makhsut Tadzhibullaev-Aisha Zhumabek, 21-9, 21-10.

Mereka kemudian tewas kepada Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto 19-21, 21-19, 16-21 pada perlawanan terakhir Kumpulan B dengan India menewaskan Malaysia 4-1.

Justeru, beliau berharap dapat segera bangkit dan menggunakan sesi latihan ketika ini untuk menguatkan mental selain mahu mencapai konsistensi pada beberapa siri kejohanan di Eropah bulan depan termasuk Terbuka Jerman 2023 dan All England 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 1:53 PM