REXY akan memberi yang terbaik agar beregu remaja negara mampu menyerlah di peringkat tertinggi. FOTO ARKIB NSTP
REXY akan memberi yang terbaik agar beregu remaja negara mampu menyerlah di peringkat tertinggi. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun fokus akan lebih diberikan lebih kepada pasukan senior lelaki, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan beliau tidak sesekali mengabaikan beregu remaja negara.

Rexy yang ketika ini bersama skuad senior negara di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) berkata, beliau akan memberi yang terbaik agar beregu remaja negara mampu menyerlah di peringkat tertinggi.

Katanya, selepas menyelesaikan tugas di Dubai, satu perbincangan dengan pengurusan tertinggi ABM akan dilakukan untuk memperincikan perancangan bakal dilakukan.

"Saya terlebih dahulu akan membentuk jurulatih di bawah seliaan saya dan akan berkongsi ilmu untuk mereka supaya boleh jadi yang terbaik.

"Ketika ini tugas saya dipangku Pang Chen Chang dan mungkin akan ada lagi satu atau dua jurulatih untuk membantu dia," katanya.

Tegas Rexy, beliau tiada masalah untuk menyahut cabaran diberikan kepadanya iaitu memimpin beregu remaja negara.

Malah, beliau bertekad untuk melahirkan lebih ramai pemain terbaik negara pada masa akan datang dengan peningkatan yang boleh dibanggakan.

ABM sebelum ini melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan skuad remaja apabila Datuk Misbun Sidek tidak lagi memikul tugas selaku Pengarah Pembangunan Remaja, sebaliknya diberikan peranan khusus sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja negara.

"Datuk Misbun melakukan kerja dengan baik menguruskan keseluruhan skuad remaja.

"Saya tahu ini bukan tugas mudah kerana skuad remaja lebih banyak dari pemain senior.

"Tapi saya berharap boleh melakukan yang terbaik kerana tahun ini ada beberapa kejohanan penting untuk pemain remaja negara seperti Kejohanan Remaja Asia serta Kejohanan Remaja Dunia dan dua kejohanan ini adalah KPI (petunjuk prestasi utama) yang perlu dicapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 4:15 PM