MISBUN dapat menanamkan budaya disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain remaja. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
MISBUN dapat menanamkan budaya disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain remaja. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aida Adilah Mat


PENYUSUNAN semula struktur kejurulatihan membabitkan pemain remaja di bawah kendalian Pengarah Pembangunan Belia, Datuk Misbun Sidek adalah perlu ketika mereka kini berada satu bumbung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Ia adalah bertujuan untuk memperkukuhkan aspek persediaan dalam usaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membentuk pemain berpotensi di masa depan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa bahagian perseorangan bawah 18 tahun akan dikendalikan oleh bekas pemain perseorangan negara, Hazwan Jamaluddin dan Poh Chai Boon.

Tiga pakar beregu, Pang Cheh Chang, Vountus Indra Mawan dan Lutfi Zaim akan membimbing pemain beregu bawah 18 tahun.

Manakala bekas pemain perseorangan negara, Hafiz Hashim dan Alvin Chew akan ditugaskan untuk melatih pasukan lelaki bawah 15 tahun.

Kwan Yoke Meng yang pernah membarisi skuad Piala Thomas 1992 akan diberi portfolio baru iaitu mengetuai bahagian pembangunan perempuan bawah 13 tahun sementara jurulatih berpengalaman Zhang Hong Yu akan mengawasi pemain wanita bagi kategori bawah 15 dan 14 tahun.

"Kesemua jurulatih mempunyai pengalaman dalam aspek pembangunan sepanjang mereka bersama BAM. Hong Yu sudah hampir dua dekad sebagai jurulatih remaja di Malaysia.

"Mereka tahu sistem kita dengan baik dan ingin berkongsi pengetahuan mereka bersama pemain muda.

"Saya percaya bahawa dengan bimbingan Misbun, kita dapat menanamkan budaya disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain pada usia muda sekali gus akan membantu peralihan mereka apabila memasuki pasukan senior kebangsaan," kata Norza.

Seramai 77 pemain remaja kini berada di ABM untuk meneruskan latihan dan sesi pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 7:43 PM