DATUK Misbun Sidek. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Misbun Sidek. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berikutan persembahan buruk skuad negara ketika Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol Oktober lalu, Akademi Badminton Malaysia (ABM) menukar peranan Datuk Misbun Sidek sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja.

Menurut Pegawai Eksekutif ABM, Michelle Chai, Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky pula akan menjadi ketua jurulatih beregu remaja.

"Keputusan ketika Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. Malahan pihak jurulatih juga mengakui bahawa mereka menjangkakan keputusan yang lebih baik namun sebaliknya," kata Michelle.

Misbun sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun tugasnya sekarang ini adalah memberi fokus sepenuhnya kepada perseorangan remaja negara.

Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol Oktober lalu menyaksikan tiada wakil Malaysia di pentas final, manakala dalam acara berpasukan campuran pula, Malaysia mengakhiri saingan di kedudukan kesembilan keseluruhan.

"Kami terpaksa mengambil pendekatan yang berlainan, kami tidak boleh terus menggunakan pendekatan sama.

"Selepas bedah siasat untuk Kejohanan Dunia Remaja sebelum ini kami bersetuju Misbun memberikan tumpuan penuh kepada acara perseorangan remaja kerana itu adalah kepakarannya, manakala skuad beregu remaja bawah bawah 16 tahun dan 18 tahun akan dipantau Rexy," kata Michelle.

Penukaran tugas ini sudah berkuatkuasa minggu ini, dan dalam masa yang sama, kedua-dua mereka sedang berusaha untuk mencari pengganti kepada jurulatih bawah 15 tahun, Hafiz Hashim dan jurulatih bawah 18 tahun, Vountus Indra Mawan yang tidak lagi bersama badan induk itu.

"Misbun dan Rexy sedang dalam usaha untuk memperincikan jumlah jurulatih yang mereka perlu dan siapa yang mereka akan bawa masuk. Jadi kami meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk mengenal pasti program latihan serta pemilihan jurulatih," kata Michelle.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 4:09 PM