LEE Zii Jia. FOTO Bernama
LEE Zii Jia. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann belum memutuskan siapa yang akan berada di kerusi jurulatih ketika pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) bermula Selasa ini.

Menurut Choong Hann, dia dan barisan kejurulatihan akan berbincang lebih mendalam berkenaan perkara itu namun keselesaan pemain nombor empat dunia itu akan sentiasa menjadi keutamaan.

"Kita tengok nanti, siapa yang dia selesa dan segala-galanya bergantung kepada kehendak Zii Jia.

"Apa yang saya boleh katakan, mungkin kita sama-sama (jurulatih BAM dan Liew Daren) duduk di kerusi belakang gelanggang, atau juga tidak perlu ada jurulatih di belakang," katanya.

Pada edisi ketiga BAMTC itu, Malaysia diletakkan satu kumpulan bersama India, Kazakhstan dan pasukan tuan rumah UAE, dijangka tiada masalah untuk mara ke separuh akhir.

Dalam pada itu ketika mengulas mengenai prestasi Zii Jia dalam kem kebangsaan, Choong Hann berpuas hati dengan perkembangan yang ditunjukkan ketika kem latihan pusat yang dijalankan sebelum ini.

"Sebelum ini dia beritahu mahu fokus mencari rentak dan saya rasa ada kemajuan tetapi tempoh latihan pusat seminggu tidak lama.

"Bagaimanapun ia cukup untuk dia mendapat elemen positif dan kita beri elemen diperlukannya seperti tempat latihan dan rakan sparring," katanya.

Selain Zii Jia, BAM menyenaraikan Leong Jun Hao yang berada di ranking ke-66 dunia untuk memperkuat posisi perseorangan lelaki manakala perseorangan wanita dibarisi Goh Jin Wei (31) dan Wong Ling Ching (186).

Beregu lelaki pula diperkuat Aaron Chia-Soh Wooi Yik (2) dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (8); beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah (5) serta Teoh Mei Xing-Go Pei Kee (88).

Beregu campuran pula diperkuat gandingan keenam dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (48).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 4:14 PM