PEMAIN negara gagal meraih sebarang pingat ketika menghadapi saingan dalam Kejohanan Remaja Dunia di Santander. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
PEMAIN negara gagal meraih sebarang pingat ketika menghadapi saingan dalam Kejohanan Remaja Dunia di Santander. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek bersetuju sekiranya pengurusan tertinggi badan induk itu mahu merombak barisan kejurulatihan skuad remaja negara.

Ia susulan prestasi kurang memuaskan daripada barisan pemain negara ketika menghadapi saingan dalam Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Misbun turut mengakui selepas ini pihaknya akan memberi penekanan lebih serius dari segi kekuatan fizikal pemain selain merancang untuk membawa masuk jurulatih baharu.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain selepas mengambil kira kami tidak membuat persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan kali ini.

"Semua pemain beraksi kali pertama dan kami tidak mempunyai maklumat mengenai pencabar dari negara lain kerana sudah dua tahun Kejohanan Remaja Dunia tidak diadakan berikutan pandemik Covid-19.

"Ini juga adalah tugasan pertama saya di Kejohanan Remaja Dunia dan dari aspek taktikal dan teknikal, pemain kita tidak jauh ketinggalan tetapi apa yang saya lihat kita masih lemah dari aspek kekuatan fizikal.

"Saya sudah mengenal pasti apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi prestasi pemain dan salah satunya adalah rombakan dalam struktur kejurulatihan. Saya juga mungkin akan membawa masuk jurulatih baharu," katanya.

Selain itu, beliau mahu mencadangkan kepada pengurusan BAM agar memanjangkan tempoh masa latihan pemain sebagai persediaan menghadapi siri kejohanan lain selepas ini.

"Saya juga mahu mereka menyertai kejohanan di peringkat senior yang bertaraf Siri Antarabangsa dan Cabaran Antarabangsa bagi mempercepatkan lagi proses peningkatan prestasi dan kematangan mereka.

"Perancangan selepas ini adalah bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi Kejohanan Remaja Dunia akan datang," katanya.

Selain Misbun, lima lagi jurulatih yang mengendalikan pemain remaja negara adalah Hazwan Jamaluddin dan Poh Chai Boon (perseorangan) manakala, Pang Cheh Chang, Vountus Indra Mawan serta Lufti Zaim (beregu).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 6:30 PM