AKSI Tze Yong hari ini. FOTO Aizuddin Saad
AKSI Tze Yong hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong membuktikan dia sememangnya berbisa apabila memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2022, sebentar tadi.

Pada aksi final yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil itu menyaksikan Tze Yong menghadiahkan emas untuk Johor selepas menewaskan rakan seperjuangannya, Leong Jun Hao yang mewakili Kuala Lumpur 18-21, 21-19, 21-12.

Walaupun pada set pertama dikejutkan dengan kemenangan Jun Hao, namun Tze Yong yang juga juara Terbuka Scotland musim lalu bangkit untuk meraih kemenangan pada set berikutnya.

Tze Yong yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 berkata, dia gembira dapat menjadi salah seorang penyumbang emas buat kontinjen Johor yang mencipta sejarah muncul juara keseluruhan buat kali pertama pada Sukma kali ini.

"Saya berbangga dapat memenangi emas buat Johor. Sukma kali ini saya dapat belajar bagaimana untuk mengawal tekanan dalam kejohanan.

"Saya puas dengan penyertaan saya pada Sukma kali ini. Saya harap boleh kekalkan momentum ini untuk menghadapi kejohanan seterusnya," katanya Tze Yong yang akan beraksi pada Cabaran Antarabangsa Indonesia bermula 11-16 Oktober dan Masters Indonesia 18 hingga 23 Oktober yang mana kedua-duanya berlangsung di Malang.

Sementara itu, pingat gangsa acara perseorangan lelaki dimenangi wakil Selangor, Aidil Sholeh Ali Sadikin selepas mengatasi Kok Jing Hong dari Kedah 21-4, 22-20 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, pemain Selangor, Siti Nurshuhaini Azman merangkul emas pertama dalam penampilan sulung di Sukma selepas mengungguli acara perseorangan wanita menerusi kemenangan ke atas rakan senegeri, K Letshanaa 21-19, 21-9.

Nurshuhaini berkata, penampilan pertamanya di pentas Sukma berjaya menghadiahkan emas untuk Selangor walaupun tahap kesihatannya kurang memuaskan.

"Alhamdulillah saya dapat emas dalam penampilan pertama Sukma saya. Saya berpuas hati dengan pencapaian saya sekarang ini.

"Sudah lama saya tidak dapat pencapaian seperti ini, saya gembira sangat. Hari ini pun saya tidak berapa sihat dan tidak jangka boleh menang perlawanan ini.

"Saya dedikasikan kemenangan ini kepada keluarga, Selangor dan diri saya. Saya akan menjadikan pencapaian ini untuk pergi lebih jauh lagi selepas ini," kata Nurshuhaini yang juga pemain dalam skuad pelapis kebangsaan.

Gangsa menjadi milik pemain Pulau Pinang, Tan Zhing Yi yang melakar kemenangan ke atas Amanda Yap dari Wilayah Persekutuan 21-12, 21-12.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 1:48 PM