Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Valeree Siow membuktikan ranking tidak menjaminkan kemenangan apabila melakar kejutan menewaskan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo di pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini.

Tang Jie-Valeree yang baru digandingkan tiga minggu lalu ketika di Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia kini menghuni ranking ke-209 dunia dan menewaskan Kaneko-Misaki di ranking ke-16 dunia dalam pertarungan rubber set 21-16, 14-21, 21-10 yang berlangsung selama 54 minit.

Ia adalah kejayaan yang mampu menyuntik semangat mereka untuk mara lebih jauh lagi terutama selepas menewaskan gandingan berpengalaman Jepun itu apabila Misaki pernah meraih emas di Sukan Olimpik Rio 2016 selain muncul juara Terbuka Malaysia dalam acara beregu wanita pada 2018.

"Kehadiran penonton memberi kami semangat untuk bangkit di set ketiga. Ini adalah kejohanan ketiga kami bersama dan saya lihat banyak peningkatan dari segi mutu permainan kami.

"Saya suka bermain dengan Valeree. Dia sangat bagus dan boleh main di depan serta belakang. Dapat rasa macam main dalam acara beregu apabila dia mengawal di bahagian belakang dan itu beri kelebihan kepada kami apabila lawan tidak dapat membaca pergerakan," kata Tang Jie.

Tang Jie turut berharap kemenangan itu membantu meningkatkan momentum permainan lebih baik untuk ke peringkat lebih jauh.

Sementara itu, Valeree sebelum ini turut mara dalam acara beregu wanita bersama gandingannya, Low Yeen Yuan yang menewaskan pasangan Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau 17-21, 21-16, 21-19 di pusingan pertama, semalam.

Pencapaian terbaik Tang Jie-Valeree adalah mara ke suku akhir Terbuka Indonesia, dua minggu lalu.

Menanti mereka di pusingan kedua esok adalah pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 dari China yang juga pilihan kedua kejohanan, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Si Wei-Huang Ya Qiong mara ke pusingan kedua selepas menundukkan beregu negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei 17-21, 18-21 dalam perlawanan berlangsung selama 33 minit.

Jelas, tugas berat menanti Tang Jie-Valeree apabila berdepan jaguh China itu, tetapi ia satu pengalaman berguna apabila menentang pasangan berkelas dunia dengan perbezaan ranking jauh.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan beregu China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting 22-20 dan 21-14.

Kali terakhir mereka bertemu adalah di Terbuka Thailand Mei lalu dengan kemenangan berpihak kepada Pearly-Thinaah 21-17,21-11.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 4:24 PM
VALEREE (kiri) dan Tang Jie mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
VALEREE (kiri) dan Tang Jie mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.