Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas Olimpik Tokyo, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann kini menukar tumpuannya untuk memastikan kem negara mampu memberikan cabaran di Piala Thomas, yang dijangka berlangsung di Aarhus, Denmark, Oktober ini.

Choong Hann berkata, Piala Thomas kini menjadi keutamaan mereka pada masa ini dan mereka akan merancang sebaiknya bagi membantu pemain kebangsaan untuk bersedia menghadapi kejohanan badminton paling berprestij itu.

Dengan misi Malaysia pada Piala Thomas itu akan diketuai pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan pasangan beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bagaimanapun Choong Hann mengakui yang kem itu mengalami kekurangan kekuatan berpasukan.

"Kejohanan ini (Piala Thomas) tentunya akan menjadi tempat menguji dan mendapatkan pengalaman kepada pemain muda," katanya pada sidang media yang diadakan secara maya hari ini.

Choong Hann yang membantu pasukan Malaysia berada di tempat kedua pada edisi 1998 dan 2002 percaya, tindakan menghantar pemain-pemain muda ke Piala Thomas tentunya akan memberikan faedah kepada skuad badminton negara di masa hadapan.

Beliau percaya kumpulan pemain muda masa kini akan mampu untuk memberikan impak dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi dan seterusnya merapatkan jurang dengan Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik, selain membina kekuatan berpasukan pada masa akan datang.

"Apabila kita hadapi acara berpasukan pada masa hadapan, kita telahpun mempunyai kekuatan untuk berikan cabaran sebagai pasukan terbaik di dunia. Untuk rakyat Malaysia dan kami juga, sasaran peribadi kami ialah untuk membawa pulang Piala Thomas," katanya.

Zii Jia mencipta sensasi selepas memenangi Kejohanan Badminton Seluruh England 2021 dengan mengalahkan pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9.

Aaron-Wooi Yik pula berjaya menang pingat gangsa Olimpik Tokyo selepas berjaya membalas kekalahan pada peringkat kumpulan dengan menewaskan pasangan pilihan kedua Olimpik Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan selama 52 minit yang penuh mendebarkan.

Choong Hann berkata, Malaysia juga mempunyai peluang untuk memenangi Piala Thomas jika mereka mempunyai banyak pilihan pemain-pemain yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 6:34 PM