PEARLY Tan-M Thinaah sandaran beregu wanita negara.
PEARLY Tan-M Thinaah sandaran beregu wanita negara.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hanya semangat luar biasa dan keyakinan tinggi menjadi 'senjata' skuad Piala Uber negara untuk mengatasi tuan rumah, Denmark pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan D, esok.

Ini kerana, jika melihat kekuatan kedua-dua pasukan, nyata Denmark lebih unggul serta dilabel pasukan terkuat di Eropah dan beraksi di halaman sendiri memberi kelebihan kepada mereka.

Namun Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann percaya barisan pemain wanita negara yang hadir pada saingan di Aarhus kali ini mempunyai mentaliti berani melawan seperti ditunjukkan pada saingan Piala Sudirman.

"Denmark tidak dinafikan antara pasukan paling kuat terutama di Eropah. Daripada keseluruhan pasukan, mungkin kita nampak tak cukup (sempurna berbanding Denmark). Tapi saya percaya dengan semangat pemain kita yang berani untuk melawan.

"Kami sudah lama harapkan supaya pemain mempamerkan semangat seperti ini. Apabila berdepan mana-mana lawan, kita sudah boleh nampak semangat mereka ini dan harap ia dapat diteruskan pada kejohanan akan datang.

"Budaya seperti ini penting supaya mereka mempunyai kemahuan yang tinggi bermula daripada sesi latihan dan saya percaya ia akan memberi impak positif kepada setiap pemain," katanya.

Choong Hann berkata, skuad negara tetap fokus untuk cuba menduduki kelompok dua terbaik peringkat kumpulan meskipun ia tampak sukar kerana perlu juga mengatasi cabaran China serta Kanada.

"Untuk pertemuan dengan China pada perlawanan seterusnya, sejujurnya saya akui skuad negara masih belum cukup (kuat) untuk tumpaskan China. Apapun, kami hanya akan fikirkan perlawanan dengan China selepas bertemu Denmark," katanya.

Skuad Piala Uber negara dibarisi pemain perseorangan S Kisona, Eoon Qi Xuan, K Letshanaa dan Siti Nurshuhaini Azman manakala beregu pula Pearly Tan-M Thinaah, Yap Ling-Teoh Mei Xing dan Lee Meng Yean-Goh Pei Kee.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 5:28 PM