PEMAIN badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia. FOTO ihsan BAM
PEMAIN badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia. FOTO ihsan BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia melihat gelaran juara di Kejohanan Badminton Asia (BAC), semalam, sebagai titik tolak untuk memperoleh lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Petang semalam, Zii Jia menewaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie di final kejohanan di Manila, Filipina dengan keputusan 21-17, 23-21.

Menurutnya, perkara utama sekarang ini adalah mengekalkan aksi konsisten dan memperbaiki setiap kelemahan untuk tampil lebih meyakinkan pada kejohanan akan datang.

Katanya, Jonatan bukanlah lawan mudah kerana memiliki pengalaman luas selain teknik permainan cukup baik sehingga mampu memerangkap lawan.

"Pada perlawanan semalam, Jonatan bukanlah lawan yang mudah kerana menampilkan permainan cukup bertenaga, namun saya hanya fokus mahu mengutip mata untuk mendahului perlawanan.

"Kejayaan ini hanyalah sebagai permulaan apabila bergerak sebagai profesional kerana cabaran bukanlah mudah untuk pastikan kekal konsisten.

"Saya mengharapkan lebih banyak kejayaan dapat dicipta, sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa," katanya.

Pemain nombor tujuh dunia itu akhirnya memenangi trofi kedua dalam kariernya apabila memenangi Seluruh England 2021 dan kemenangan kedua ke atas Jonatan dalam enam pertemuan mereka.

Membuat penampilan sulung di BAC, Zii Jia muncul perseorangan lelaki kedua negara merangkul kejuaraan sejak Datuk Lee Chong Wei melakukannya pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 2:36 PM