CHOONG Hann (tengah), Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky (kanan) dan Pengarah Prestasi Tinggi, Dr Tim Jones. -FOTO Bernama
CHOONG Hann (tengah), Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky (kanan) dan Pengarah Prestasi Tinggi, Dr Tim Jones. -FOTO Bernama
Oleh Saiful Affendy


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan (Perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berharap kekecewaan pada saingan Piala Thomas baru-baru ini akan memberi iktibar paling bermakna khususnya kepada pemain perseorangan negara.

Jelas Choong Hann, barisan pemain muda seperti Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao harus sedar bahawa mereka perlu mempunyai semangat dan karakter luar biasa apabila beraksi di pentas tertinggi seperti di Piala Thomas.

"Pada kejohanan seperti Piala Thomas, pemain pilihan juga boleh mengalami kekalahan. Jadi sebagai pemain, kita perlu bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental.

"Sekarang mereka sudah merasai kepedihan di Piala Thomas. Mereka dapat melihat bagaimana lawan meraikan kejayaan di depan mata mereka sendiri.

"Mereka (pemain negara) tidak bodoh, jika mereka bodoh, mereka tidak berada di dalam skuad kebangsaan. Jadi mereka perlu benar-benar merasai kekecewaan ini di dalam hati dan kembali bangkit untuk menjadi pemain lebih baik.

"Ini adalah sebahagian daripada perjalanan karier sebagai seorang pemain," katanya.

Skuad negara menerima tamparan selepas tewas 2-3 di tangan India dalam aksi suku akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand minggu lalu.

India kemudian meraih kejuaraan sulung Piala Thomas selepas menewaskan juara bertahan, Indonesia 3-0 pada aksi final.

Kecuali pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, barisan pemain perseorangan negara lain kurang menyerlah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 2:57 PM