CHOONG Hann tidak tolak kemungkinan menurunkan pemain muda menentang Kanada. FOTO BAM
CHOONG Hann tidak tolak kemungkinan menurunkan pemain muda menentang Kanada. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengakui terdapat kekurangan dan kelebihan selepas England menarik diri dalam Kumpulan D saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark.

Jelas Choong Hann, ketiadaan England mungkin memudahkan laluan skuad negara untuk mara ke suku akhir kerana hanya perlu memenangi satu perlawanan di peringkat kumpulan yang turut dihuni oleh Kanada dan Jepun.

"Ia akan membolehkan kita mencapai matlamat memasuki peringkat kalah mati, suku akhir dan capai sasaran itu lebih awal. Tapi dari sudut menurunkan pemain utama untuk mencari rentak perlawanan dalam gelanggang Piala Thomas ini, itu menjadi satu kekurangan kerana ketiadaan pasukan England.

"Apapun, kita akan menilai lagi dan berbincang dengan barisan kejurulatihan supaya kita dapat menilai mana satu elemen penting untuk membawa pasukan ke peringkat selanjutnya," katanya.

England menarik diri daripada menyertai kejohanan yang bermula hari ini sehingga 17 Oktober selepas tiga daripada empat pemain perseorangan yang disenaraikan sebelum ini mengalami kecederaan.

Skuad negara akan turun perlawanan pertama peringkat kumpulan bertemu Kanada awal pagi Selasa ini sebelum berdepan Jepun dua hari kemudian. Ditanya adakah Malaysia akan mempertaruhkan barisan pemain muda apabila bertemu Kanada, Choong Hann tidak menolak kemungkinan itu.

"Ada kemungkinan tapi kami belum memutuskan senarai akhir pemain lagi. Kami akan melihat perkembangan pemain semasa sesi latihan dan kemudian baru akan putuskan siapa akan beraksi," katanya.

Cabaran Malaysia diketuai pemain perseorangan nombor lapan dunia, Lee Zii Jia dan beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 8:56 PM