AKSI Soh Wooi Yik (kiri) dan Aaron Chia semalam. FOTO EPA
AKSI Soh Wooi Yik (kiri) dan Aaron Chia semalam. FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun terkandas di separuh akhir, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengakui pemain muda negara meraih pengalaman berharga sepanjang saingan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

Skuad negara yang dibarisi tonggak muda mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melangkah sehingga separuh akhir sebelum tunduk di tangan Jepun 1-3 awal pagi tadi.

Ini adalah kali kedua Malaysia berjaya mara ke separuh akhir selepas edisi 2009 di Guangzhou, China tatkala skuad negara tidak pernah muncul juara Piala Sudirman sejak kejohanan berpasukan campuran itu diperkenalkan pada 1989.

Bagaimanapun, paling mencuri tumpuan sudah pasti ketika menumbangkan Indonesia 3-2 di suku akhir yang menyaksikan pemain negara mempamerkan semangat juang tinggi untuk menjinakkan pasukan dibarisi majoriti pemain kelompok 10 terbaik dunia.

Menurut Choong Hann, pencapaian yang dilakar itu membuktikan program dan instensiti latihan yang dirangka buat pemain negara adalah tepat.

"Saya fikir ini adalah satu perjalanan yang sangat berharga untuk pemain muda kita kerana mereka dapat merasai intensiti permainan menentang antara kelompok terbaik dunia.

"Apabila mereka turun ke gelanggang, mereka boleh tahu apa yang perlu dilakukan untuk menjadi yang terbaik di dunia.

"Mereka boleh berdepan dengan pemain terbaik dunia tanpa rasa takut, ini menunjukkan bahawa program latihan yang kita rancang untuk mempersiapkan pemain adalah tepat. Dengan keputusan ini, hala tuju latihan dan program kita sememangnya di landasan betul," kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.

Ditanya siapakah pemain yang paling menyerlah sepanjang kempen di Vantaa, Choong Hann bagaimanapun, berkata dia perlu memberikan pujian kepada semua pemain.

"Saya perlu beri kredit kepada semua pemain, bukan seorang saja. Seperti contoh, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) bermain dengan bagus sejak dari awal kejohanan tetapi ketika bertemu beregu Jepun di separuh akhir ada kekurangan yang mana kita lihat semangat mereka kurang membara.

"Ini satu pengalaman yang mereka perlu pelajari. Dalam kejohanan berpasukan, jika anda turun sebagai pasangan utama, anda akan bermain menentang pasangan terbaik pasukan lawan. Ia berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan terbuka.

"Walaupun mereka sudah ada pengalaman tetapi masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki," katanya.

Skuad negara akan meneruskan misi di Eropah apabila beraksi dalam saingan Piala Thomas/Uber di Aarhus, Denmark yang bermula Sabtu ini.

Aksi Piala Thomas menyaksikan skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada manakala skuad wanita dalam Piala Uber akan bertemu China, Denmark dan Kanada dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 6:26 PM