PANG Ron dan Yee See cemerlang benam beregu England. FOTO BAM
PANG Ron dan Yee See cemerlang benam beregu England. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran negara yang menghadiahkan mata pertama buat skuad Piala Sudirman di Vantaa, Finland berdepan England semalam, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengakui gembira dapat menyuntik semangat buat rakan pasukan.

Pang Ron dan pasangannya yang kini menghuni ranking ke-27 dunia diberi kepercayaan turun sebagai beregu pertama pada penampilan sulung di pertandingan itu berkata, mereka sangat teruja berbanding berasa tekanan.

Katanya, turun sebagai beregu 'underdog', tekanan itu sebenarnya lebih kepada pasangan England, Marcus Ellis-Lauren Smith kerana mereka adalah beregu di kelompok 10 terbaik dunia.

"Saya memang teruja bila dipilih untuk beraksi perlawanan pertama dan kemudiannya turun menentang pasangan dalam ranking 10 terbaik.

Dalam perlawanan itu, kami hanya fokus dan beri segala yang boleh. Apa yang penting adalah menyesuaikan diri dengan perlawanan itu, jangan terlalu ghairah dan banyakkan bersabar. Sebenarnya kami memang cukup bersemangat untuk berikan Malaysia mata," katanya. Sementara itu bagi Yee See, dia masih belum puas biarpun berjaya menewaskan beregu yang berada di ranking ketujuh dunia itu. Katanya, banyak perkara yang perlu diperbaiki dan dia perlu buat lebih baik jika disenaraikan lagi selepas ini bagi membantu rakan pasukan.

Pada perlawanan kelmarin, beregu campuran negara yang sebelum ini muncul juara di Terbuka Hyderabad pada 2019 menewaskan Marcus Ellis-Lauren Smith 21-19, 21-18 dalam pertarungan straight set.

Malaysia melakarkan kemenangan 3-2 mengatasi England yang mana mata negara turut disumbangkan oleh ketua pasukan, Lee Zii Jia dan pemenang pingat gangsa temasya Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan D bertemu Mesir pada perlawanan kedua peringkat kumpulan, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:51 PM