TANG Jie dan Yen Wei tewas di tangan beregu England. FOTO BAM
TANG Jie dan Yen Wei tewas di tangan beregu England. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berasa takut dan kurang keyakinan harus dipadamkan segera buat gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei terutama menjelang Sukan Sea Vietnam Mei depan.

Tang Jie-Yen Wei bakal menggalas harapan besar bersama Hoo Pang Ron-Cheah Yee See bagi bersaing dengan pemain Asia Tenggara lain di temasya berkenaan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menyenaraikan tonggak senior.

Menurut Yen Wei, mereka harus membuang kelemahan berkenaan terutama ketika di mata penting kerana ia dikatakan punca utama mereka tersingkir awal di Terbuka Jerman minggu ini.

"Kami perlu lebih berani dan yakin terutama ketika cuba meraih mata penting. Saya memang tidak berpuas hati dengan permainan di Terbuka Jerman. Kami mempunyai peluang besar menang tapi tetap berakhir dengan kekalahan. Banyak perkara perlu diperbaiki dan kami harus mempertingkatkan permainan demi permainan," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Tang Jie-Yen Wei terpaksa akur dengan kehebatan pilihan kelima dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith apabila kalah 12-21, 21-13, 21-23 di pusingan pertama Terbuka Jerman.

"Walaupun berjaya bangkit di set kedua dan pungutan mata sangat rapat di set penentuan kalah tetap kalah," kata pemain ranking 29 dunia itu yang selepas ini akan beraksi di Seluruh England.

Sementara itu, hasrat untuk beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke separuh akhir Terbuka Jerman tidak kesampaian apabila mereka kalah 11-21, 18-21 kepada wakil Thailand yang juga pilhan utama, Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai pagi tadi.

Turut tersingkir ialah beregu wanita profesional, Vivian Hoo- Lim Chiew Sien yang tumpas kepada Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China 15-21, 20-22.

Beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga terpaksa melupakan aksi separuh akhir selepas kalah kepada rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 15-21, 22-20, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 9:27 PM