Tengku Ahmad Tajuddin (kanan) berterima kasih kepada Arul kerana masih diberi kepercayaan membarisi skuad negara. FOTO File NSTP
Tengku Ahmad Tajuddin (kanan) berterima kasih kepada Arul kerana masih diberi kepercayaan membarisi skuad negara. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain hoki berpengalaman negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil tetap akan memberi yang terbaik buat skuad kebangsaan selagi khidmatnya diperlukan.

Amanah yang diberikan serta kepercayaan oleh jurulatih kebangsaan Arul Selvaraj tidak akan dipersiakan biarpun menyedari peluangnya untuk beraksi di temasya Olimpik mungkin sukar untuk direalisasikan berikutan faktor usia.

Gembira dapat kembali bekerjasama dengan Arul selepas kali terakhir pada 2014, Tengku Ahmad Tajuddin berkata, dia amat berterima kasih kepada jurulatih negara itu kerana masih lagi memberi kepercayaan kepada pemain lama untuk membarisi skuad negara.

"Perjuangan saya dalam skuad hoki negara tidak pernah padam dan saya akan terus memberikan yang terbaik selagi diperlukan.

"Mungkin peluang nak beraksi di Olimpik 2024 sukar kerana faktor umur dan banyaknya bakat baru dalam pasukan, tapi hasrat itu tetap ada. Saya akan cuba sebaik mungkin berkongsi pengalaman dengan pemain muda," katanya.

Tengku Ahmad Tajuddin atau dikenali dengan panggilan Jidin di kalangan rakan seperjuangan percaya akan aura yang dibawa Arul mampu mengemudi pasukan merealisasikan impian.

"Sebagai kapten kapal beliau perlu menjadi seorang jurulatih yang boleh menguruskan keseluruhan pasukan untuk membawa kami mencapai impian.

"Pada masa yang sama pemain juga kena ada tanggungjawab untuk bantu beliau bagi memudahkan urusannya," katanya.

Isnin lalu seramai 38 pemain dipanggil menjalani kem latihan pusat skuad senior lelaki kebangsaan hingga 19 Disember ini.

Hanya 25 pemain yang berjaya membuktikan kemampuan terbaik mereka akan terus kekal berada di dalam senarai pemain kebangsaan sementara 13 pemain lagi terpaksa diketepikan dengan purata usia pemain yang tersenarai ialah 25 tahun.

11 minggu latihan pusat yang akan berlangsung itu juga akan digunakan oleh Arul sebagai salah satu rangka persediaan bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 19 Mac 2021 di Dhaka, Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 8:15 PM