AKSI Faizal (kiri) ketika perlawanna final Piala Razak bertemu Perak semalam. FOTO Ihsan MHC
AKSI Faizal (kiri) ketika perlawanna final Piala Razak bertemu Perak semalam. FOTO Ihsan MHC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Faizal Saari tidak akan pernah berhenti berusaha untuk kembali beraksi bersama skuad hoki kebangsaan kerana impiannya beraksi di temasya Olimpik masih belum tercapai.

Selagi hasratnya itu belum direalisasikan, pemain berusia 29 tidak akan berputus asa dalam usahanya memikat hati jurulatih kebangsaan, Arul Selvaraj.

"Saya memang mahu kembali bermain untuk Malaysia dan bersedia untuk memberi komitmen 100 peratus dan mungkin saya akan beri lebih lagi.

"Sebab cita-cita saya untuk bermain di Sukan Olimpik belum tercapai," katanya.

Faizal dilihat bertemu dengan Arul ketika saingan Piala Razak masih berlangsung dan selepas pertemuan itu dia berjaya meledakkan enam gol.

Ditanya apakah butiran perbincangan bersama jurulatih itu, Faizal berkata, dia hanya diminta oleh Arul meningkatkan tahap kecergasan dan menjaringkan lebih banyak gol.

Penyerang prolifik itu membuktikan dia masih lagi seorang penyerang terbaik negara apabila dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 18 gol.

"Tapi saya masih belum puas hati dengan apa yang saya lakukan.

"Bagi saya, saya boleh jaringkan lagi sebab saya memang mahu mewakili negara. Apapun jika ada rezeki saya terpilih, syukur Alhamdulillah. Tapi kalau tak terpilih saya akan cuba lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 7:22 PM