OZIL diketepikan daripada skuad Liga Europa Arsenal. FOTO AFP
OZIL diketepikan daripada skuad Liga Europa Arsenal. FOTO AFP
Agensi

London: Pemain tengah, Mesut Ozil diketepikan daripada skuad Liga Europa Arsenal bagi kempen yang akan datang.

Masa depan pemain berusia 31 tahun itu terus tidak menentu selepas diketepikan oleh pengurus Mikel Arteta.

Pemain antarabangsa Jerman itu tidak diturunkan untuk The Gunners sejak Mac lalu.

Pemain baru yang bernilai £45 juta (RM241.2 juta) Thomas Partey, disenaraikan dalam skuad 25 pemain sebelum perlawanan pertama Kumpulan B menentang Rapid Vienna 22 Oktober ini.

Bekas pemain tengah Atletico Madrid itu menyertai Gunners pada tarikh akhir perpindahan.

Pemain pertahanan Sokratis Papastathopoulos atau William Saliba juga tidak tersenarai dalam skuad Arsenal.

Selain bertemu Rapid Vienna, Gunners akan turut menentang pasukan Ireland, Dundalk dan Molde dari Norway dalam saingan peringkat kumpulan.

Pada Selasa lalu Ozil yang menyertai kelab itu dengan rekod perpindahan bernilai £42.4 juta (RM227.3 juta) pada 2013 yang mana kontraknya akan tamat musim ini berkata, dia akan membayar gaji lelaki yang memakai maskot kelab, Gunnersaurus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 9:42 PM