WAI Yin (tengah)  bersama  Aaron  (kanan) dan  Wooi Yik  di Akademi Badminton Malaysia hari ini. FOTO Bernama
WAI Yin (tengah) bersama Aaron (kanan) dan Wooi Yik di Akademi Badminton Malaysia hari ini. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ganjaran misteri bakal menanti beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekiranya mereka mampu menghadiahkan pingat emas di temasya Sukan Sea Olimpik Tokyo tahun depan.

Itu janji 100Plus selepas mereka dilantik sebagai duta baru yang akan mengibarkan jenama minuman isotonik itu dengan kontrak perjanjian dua tahun.

Perkara itu dimaklumkan Pengurus Pemasaran Kanan 100Plus, Leong Wai Yin sebagai motivasi kepada beregu negara itu agar mereka sentiasa melakukan yang terbaik demi negara. ''Bukan hanya di Olimpik tapi di mana-mana kejohanan sentiasa ada bonus menanti seperti Lee Zii Jia yang menerima RM10,000 selepas dia meraih emas di Sukan Sea.

''Aaron dan Wooi Yik mempunyai masa depan yang cerah apatah lagi dengan semangat tinggi, sentiasa bekerja keras selain berbakat dan mempunyai potensi amat besar, jadi saya yakin dengan kemampuan mereka,'' katanya.

Kata Wai Yin, pemilihan pasangan negara itu berdasarkan pencapaian mereka yang memberikan impak besar di pentas antarabangsa selepas berjaya menembusi ranking 10 teratas BWF dengan berada di tangga kesembilan, kedudukan tertinggi buat pasangan negara sebelum tercetusnya wabak Covid-19.

Sementara itu bagi Aaron-Wooi Yik, mereka berjanji memberikan aksi terbaik sebagai membalas kepercayaan diberikan 100Plus yang tetap tampil memberi sokongan walaupun banyak kejohanan terpaksa dibatalkan.

''Pemilihan kami sebagai duta 100Plus memberi kami satu motivasi dan bukan tekanan. Ketika masa susah seperti sekarang, tiada kejohanan tapi 100Plus tampil memberikan sokongan untuk kami terus berusaha.

''Kami berjanji bekerja lebih keras lagi selepas ini dan merangkul lebih banyak kejayaan. Paling utama adalah cuba untuk mendapatkan pingat di Olimpik dan Kejohanan Dunia tahun depan,'' kata Aaron.

Pemilihan Aaron, 23, Wooi Yik, 22, itu adalah ketiga yang dipilih sebagai duta selepas Datuk Wira Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 8:25 PM