Dari kiri - Ketua Pegawai Eksekutif F&N HoldingsBerhad, Lim Yew Hoe, Zii Jia dan Tengku Syarif Syed Badarudin pada majlis penyampaian bonus istimewa di F&N Point.
Dari kiri - Ketua Pegawai Eksekutif F&N HoldingsBerhad, Lim Yew Hoe, Zii Jia dan Tengku Syarif Syed Badarudin pada majlis penyampaian bonus istimewa di F&N Point.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia terus dihujani imbuhan hasil kejayaannya muncul juara Seluruh England dan terbaru minuman isotonik 100Plus menyampaikan bonus istimewa dengan menghadiahkan Zii Jia dengan 1,000 saham F&N bernilai RM30,300. 

Saham berkenaan disampaikan oleh Pengerusi F&N Holdings Berhad, Tengku Syarif Syed Badarudin Jamalullail pada satu majlis ringkas di F&N Point, hari ini.

Pengurus Pemasaran Kanan 100Plus, Leong Wai Yin berkata, Zii Jia pernah menyuarakan rasa gembiranya apabila menerima sokongan dari 100Plus dan berjanji untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.

"Zii Jia berjaya menunaikan janjinya dengan kejayaan muncul juara Seluruh England.

"Pada majlis menandatangani kontrak pada Januari tahun lalu, Zii Jia berkata sokongan 100Plus akan membantu mendorong beliau untuk mencapai kejayaan lebih baik dan dia sudah buktikan," katanya.  

Pemain berusia 23 tahun itu mengikuti jejak Datuk Wira Lee Chong Wei yang juga duta jenama 100Plus yang kali terakhir memenangi kejohanan Seluruh England pada 2017.

Untuk rekod Chong Wei muncul juara Seluruh England sebanyak empat kali. 

"Kejayaan beliau begitu menakjubkan kerana beliau menewaskan dua pemain terbaik dunia iaitu Kento Momota dan Viktor Axelsen pada perlawanan separuh akhir dan akhir. Ini membuktikan kemampuan Zii Jia sebagai pemain yang mempunyai masa depan yang cerah." 

Wai Yin juga menaruh harapan bahawa prestasi dan keyakinan Zii Jia akan terus berada di tahap tinggi menjelang kejohanan badminton Terbuka Malaysia dan Sukan Olimpik di Tokyo.

"Kami mengucapkan selamat berjaya kepada Zii Jia pada kejohanan-kejohanan ini dan berharap beliau akan melakar sejarah untuk Malaysia di Tokyo nanti." 

Selain Chong Wei dan Zii Jia, pasangan beregu negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik juga adalah Duta Jenama 100Plus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 4:47 PM