AKSI antara Selangor dan UiTM di Stadium MBPJ malam tadi. FOTO Ihsan Selangor FC
AKSI antara Selangor dan UiTM di Stadium MBPJ malam tadi. FOTO Ihsan Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC terus menemui rentak kemenangan apabila mudah mengatasi UiTM FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu adalah yang kedua berturut-turut selepas turut merakam kemenangan ke atas Penang FC 4-1 di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu.

Ia sekali gus memperbaiki kedudukan skuad Red Giants dalam saingan Liga Super dengan anak buah Karsten Neitzel kini menghimpun 26 mata daripada 17 aksi setakat ini.

Malah, pasukan yang turut digelar dengan skuad Merah Kuning itu terus kekal di tangga kelima liga di belakang Johor Darul Ta'zim, Terengganu FC, Penang FC dan Kedah Darul Aman FC.

Dalam aksi itu, dua gol Selangor diraih menerusi sumbangan tonggak pertahanan tengah, Sharul Nazeem Zulpakar yang mudah menolak masuk sepakan percuma Oliver Buff pada minit ke-24.

Penjaring terbanyak pasukan dan Liga Super ketika ini, Ifedayo Olusegun melengkapkan malam tuan rumah dengan gol kedua di minit ke-57 untuk meletakkan dirinya kini menghimpun 17 gol secara keseluruhan musim ini.

Biarpun pelawat cuba memburu gol, namun benteng Selangor tampak kebal dan sukar untuk ditembusi hingga wisel penamat buat meletakkan UiTM FC terus terperosok di dasar liga dengan dua mata.

Selepas ini, Selangor akan berehat seketika dan akan turun beraksi semula pada 14 Ogos depan untuk bertemu satu lagi pasukan di zon penyingkiran iaitu Perak FC, sementara UiTM FC pula akan berjumpa lawan Selangor itu pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 12:00 AM