PEMAIN UiTM FC, Muhammad Faizal Mohd Arif (kiri) berebut bola dengan Mohd Nor Hakim ketika perlawanan Liga Super 2021 di Stadium UiTM, semalam. FOTO Aswadi Alias
PEMAIN UiTM FC, Muhammad Faizal Mohd Arif (kiri) berebut bola dengan Mohd Nor Hakim ketika perlawanan Liga Super 2021 di Stadium UiTM, semalam. FOTO Aswadi Alias
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan mengutip tiga mata adalah hasil kerjasama berpasukan dan bukan disebabkan oleh individu di atas padang.

Jelas pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel, kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC di Stadium Mini UiTM Shah Alam semalam adalah usaha keras semua pemain untuk memburu tiga mata penuh.

Katanya, meskipun pemain sayap kiri, Nor Hakim Hassan memperagakan corak permainan menakjubkan apabila dua gerakannya berjaya membuka ruang buat Oliver Buff dan Ifedayo Olusegun untuk meledak gol, namun beliau menganggap ia usaha berpasukan.

"Saya lebih gembira kita raih tiga mata malam ini (semalam) dan Hakim beraksi baik seperti mana yang ditunjukkan olehnya ketika aksi persahabatan tempoh hari.

"Tapi saya tak mahu cakap mengenai seorang pemain sahaja, tapi ia hasil kerjasama sepasukan di mana semua pemain perlu tunjukkan kemampuan ketika pasukan perlukan tiga mata untuk perbaiki kedudukan," katanya pada sidang media selepas aksi kedua-dua pasukan.

Dalam aksi itu, Red Giants berjaya menamatkan kemarau kemenangan dalam empat aksi Liga Super sebelum ini dengan menundukkan UiTM FC 2-0 menerusi jaringan Buff pada minit ke-13 dan 40 oleh Ifedayo.

Sementara itu, pengendali The Lion Troops, Frank Bernhardt mengakui kecewa dan menyifatkan dua gol pelawat adalah hasil kesilapan anak buahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 7:45 PM