BEREGU lelaki negara Goh Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin muncul naib juara BAC. FOTO AFP
BEREGU lelaki negara Goh Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin muncul naib juara BAC. FOTO AFP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim melihat beregu lelaki negara berjaya menampilkan aksi cemerlang sepanjang Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China baru-baru ini.

Jelasnya, meskipun Malaysia tidak muncul juara namun ia membuktikan Malaysia sentiasa mempunyai kekuatan dalam acara beregu dan ia memberi isyarat positif buat kem badminton negara bagi menghadapi kejohanan akan datang iaitu Piala Thomas.

"Bagi saya, beregu lelaki prestasi mereka sangat bagus sehingga berjaya masuk final dan kita juga ada wakil di separuh akhir. Sementara yang lain itu masih lagi tidak konsisten dan di tahap sama, tidak ada keputusan yang cemerlang dan ia keputusan kurang memberansangkan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada masa sama, beliau berpendapat dengan masa begitu singkat sebelum acara berpasukan bermula hujung bulan ini, pemain perlu memberi fokus kepada beberapa aspek untuk dibaiki agar ia boleh diperbetulkan ketika perlawanan peringkat kumpulan nanti.

Tambahnya, untuk acara beregu lelaki, Roslin melihat Malaysia mempunyai kekuatan berbanding perseorangan lelaki dan itu akan menjadi cabaran buat skuad negara nanti.

"Kurang dari seminggu lebih sebelum Piala Thomas bermula, mereka perlu melihat aspek teknikal yang perlu diperbetulkan kerana masa ini kalau nak cakap dapat fitnes (kecergasan) semua itu tidak ada dah, bukan lagi fokus utama.

"Pemain bertanding di BAC perlu lihat kembali segala kelemahan dan tingkatkan apa yang perlu dan mereka diturunkan nanti perlu fokus untuk berikan yang terbaik.

"Kita risau perseorangan lelaki, untuk beregu lelaki kita ada kekuatan sangat baik. Kita ada tiga atau empat pasangan yang kuat. Negara lain pun tahu di mana kelemahan dan kelebihan kita.

"Kita harap perseorangan lelaki dapat berikan yang terbaik sebab kita pun tidak tahu (Ng) Tze Yong punya kondisi sebab dia tak main kejohanan sebelum ini dan terus main kejohanan besar. Sama ada dia cergas 90 peratus atau 100 peratus. Sama juga perseorangan lelaki yang lain. Kita kurang seimbang dalam bahagian ini," kata Roslin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 5:55 PM