Rifdean bersama pingat yang dimenangi. FOTO File NSTP
Rifdean bersama pingat yang dimenangi. FOTO File NSTP
BERNAMA

PERSATUAN Muay Thai Malaysia (PMM) sekali lagi mempertaruhkan atlet negara, Mohammad Rifdean Masdor untuk mempertahankan pingat emas di Sukan Sea 2021 di Vietnam.

Presiden PMM, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata beliau yakin Malaysia berada di landasan tepat untuk mempertahankan pingat emas acara 46kg yang diraih Mohammad Rifdean, pada edisi lepas.

"Buat masa sekarang kita ada tiga atlet yang berada dalam ranking dunia termasuk Mohammad Rifdean yang berada pada kedudukan nombor satu dunia bagi kategori 45kg. Kita berada pada kedudukan yang baik untuk mempertahankan pingat emas Sukan Sea 2021.

"Begitu juga dengan kehadiran beberapa atlet pelapis berpotensi seperti Nur Iman Alif yang kini berada di Thailand. Beliau baru sahaja menang kejohanan Sirkit Profesional di sana," katanya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Muhammad Shahnaz berkata seramai 14 atlet telah dipilih untuk menyertai program persediaan ke temasya dwitahunan terbesar di Asia Tenggara itu dan mereka akan memulakan latihan secara rasmi pada minggu depan.

Jelasnya, hasil perbincangan pada mesyuarat dengan MSN, persatuan telah mencadangkan untuk menghantar atlet negara menyertai beberapa siri kejohanan profesional sebelum memulakan aksi di Sukan SEA 2021.

"Mungkin akan satu kejohanan pada hujung tahun ini di Thailand sahaja kerana banyak kejohanan dunia dibatalkan disebabkan Covid-19 dan pertandingan hanya dilangsungkan secara maya.

"Thailand telah mula buka stadium besar mereka, jadi atlet Malaysia akan berada di sana untuk sertai pertandingan sebagai persediaan. Sukan Muay Thai sangat memerlukan perlawanan, tidak boleh latihan saja," katanya.

Pada Sukan Sea 2019 di Filipina, skuad Muay Thai berjaya mengumpul sebutir pingat emas, dua perak dan dua gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 10:14 PM