Lewis Hamilton. FOTO AFP
Lewis Hamilton. FOTO AFP
Agensi

JUARA dunia Lewis Hamilton memperoleh pendapatan paling tinggi iaitu sekitar £42 juta (RM233.5 juta) setahun sekali gus mendominasi ranking teratas di antara 20 bintang Formula Satu (F1).

Bintang Mercedes itu yang berada dalam senarai antara Terkaya menerusi Sunday Times, memperoleh pendapatan dua kali ganda daripada pemandu F1 yang lain kecuali Sebastian Vettel.

Vettel, pelumba Jerman yang akan meninggalkan Ferrari hujung musim ini memperoleh £37 juta (RM205.7 juta) setahun - dengan pelumba paling rendah memperoleh pendapatan sekitar £175,000 (RM973,241).

Perbezaan ketara di tempat ketiga, Daniel Ricciardo - yang akan menyertai McLaren pada penghujung musim ini - memperoleh pendapatan £16 juta (RM88.9 juta).

Bintang Red Bull, Max Verstappen seorang lagi pelumba yang memecah tembok melebihi £10 juta (RM55.6 juta) semusim dengan pendapatan £14 juta (RM77.8 juta).

Dan tujuh lagi bintang, termasuk Carlos Sainz, Kimi Raikkonen serta rakan pelumba Vettel di Ferrari, Charles LeClerc menerima pendapatan kurang dari £8 juta (RM44.4 juta).

Sembilan lagi baki pelumba memperoleh antara £175,000 (RM973,241) dan £900,000 (RM5 juta) semusim.

Pasangan Willilams, George Russell dan Nicholas Latifi - bersama-sama pelumba Alfa Romeo, Antonio Giovinazzi - antara yang penerima pendapatan terendah.

Pelumba muda McLaren, Lando Norris juga tidak mencatat pendapatan tinggi dengan £200,000 (RM1.11 juta) semusim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 1:24 AM