HAMILTON meraih pendapatan paling tertinggi berbanding kesemua pemandu Formula Satu. FOTO AFP
HAMILTON meraih pendapatan paling tertinggi berbanding kesemua pemandu Formula Satu. FOTO AFP
Agensi

London: Gaji kesemua 20 pemandu Formula Satu didedahkan dengan Lewis Hamilton menerima pendapatan tertinggi mencecah £42 juta (RM225 juta) setahun.

Hamilton yang beraksi bersama Mercedes meraih pendapatan dua kali ganda berbanding pemandu lain kecuali bintang Ferrari, Sebastian Vettel.

Pemandu Jerman itu yang memilih Michael Schumacher berbanding Hamilton selaku pemandu terhebat sepanjang zaman, meraih pendapatan £37 juta (RM198 juta) setahun.

Daniel Ricciardo pula menduduki tangga ketiga apabila meraih pendapatan £16 juta (RM85.7 juta) setahun.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen yang baru berusia 23 tahun, memperoleh pendapatan £14 juta (RM75 juta) untuk menduduki tangga keempat.

Tujuh lagi pemandu termasuk Carlos Sainz dan Kimi Raikkonen meraih pendapatan melebihi £1 juta (RM5.3 juta) setahun dengan rakan sepasukan Vettel, Charles Leclerc kelima apabila meraih pendapatan sebanyak £8 juta (RM42.8 juta) setahun.

Baki sembilan lagi pemandu meraih pendapatan antara £175,000 (RM938,000) sehingga £900,000 (RM4.8 juta) setahun.

Dua pemandu Williams, George Russell dan Nicholas Latifi bersama-sama pemandu Alfa Romeo, Antonio Giovinazzi memperoleh pendapatan paling rendah iaitu £175,000 (RM938,000).

Bintang muda McLaren, Lando Norris juga tidak menerima gaji tinggi apabila meraih pendapatan sekitar £200,000 (RM1.07 juta) setahun.

Hamilton, 35, baru-baru ini menyamai rekod 91 kemenangan milik Schumacher selepas mengungguli Grand Prix Eifel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 1:53 PM